suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

[V] Ruhainies tak berdiam diri, tiga individu bakal berdepan saman RM3 juta... Tuntut permohonan maaf secara terbuka!

PELAKON Ruhainies mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa menyebarkan fitnah berkaitan dirinya termasuk dakwaan mempunyai hubungan sulit dengan individu kenamaan.

Keputusan itu dibuat selepas pelakon berkenaan berdepan pelbagai tohmahan di media sosial yang menurutnya menjejaskan nama baik serta reputasinya.

Bagi mengendalikan perkara itu, Ruhainies melantik dua peguam iaitu Mohd Haizal Ayop daripada firma guaman EzriLaw Firm dan Fakhrul Azman Abu Hasan daripada Azainie & Fakhrul.

Menurut Mohd Haizal, pihaknya sudah mengenal pasti tiga individu yang akan dikenakan tindakan awal, manakala usaha mengesan pihak lain yang dipercayai turut terbabit masih berjalan.

Ruhainies bersama dua penguamnya. 

Katanya, notis tuntutan (LOD) akan dikeluarkan kepada ketiga-tiga individu berkenaan dan mereka diberikan tempoh tujuh hari untuk memenuhi tuntutan tersebut.

"Anak guam kami berhasrat menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta daripada setiap individu, tidak termasuk apa-apa relif lain yang mungkin dipohon dan dibenarkan oleh mahkamah," katanya kepada media. 

Mohd Hazial berkongsi perkara itu pada sidang media bersama wakil peguam yang diadakan di Cili Kampung, Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada petang Selasa. 

Dalam perkembangan sama, Mohd Haizal memaklumkan Ruhainies sudah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Ahad lalu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

"Ruhainies sendiri sudah memberikan beberapa nama individu terbabit kepada pihak polis. Kami menjangkakan pihak polis akan mengambil tindakan lanjut dan memanggil mereka untuk memberikan keterangan.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tidak akan berundur” - Ruhainies nekad buat laporan polis, mahu tuntut keadilan

ARTIKEL BERKAITAN: Tuduhan palsu jejas reputasi, Ruhainies sudah kumpul bukti dan minta pemfitnah tampil beri kerjasama

"Setakat ini, kami sudah mengenal pasti kira-kira tiga individu dan masih berusaha mendapatkan nama-nama lain.

"Kemungkinan jumlahnya akan bertambah kerana perkara ini bukan sahaja membabitkan nama Ruhainies, tetapi turut melibatkan individu lain," katanya.

Selain menuntut ganti rugi, pihak guaman turut meminta individu terbabit bertanggungjawab terhadap kandungan yang diterbitkan serta memadamkan hantaran berkenaan.

Mereka juga perlu memberikan aku janji untuk tidak lagi menyiarkan hantaran berkaitan Ruhainies, selain membuat permohonan maaf secara terbuka tanpa sebarang syarat.

"Ketiga-tiga individu berkenaan dikehendaki membuat permohonan maaf secara terbuka (public apology) di semua laman sosial dengan syarat-syarat dan terma-terma yang dipersetujui oleh anakguam kami.

Setakat ini, kami sudah mengenal pasti kira-kira tiga individu dan masih berusaha mendapatkan nama-nama lain.

MOHD HAIZAL

PEGUAM

"Selain itu, mengadakan satu sidang media dengan menjemput anak guam kami dan wakil media arus perdana bagi tujuan menyampaikan permohonan maaf secara terbuka dan tanpa bersyarat kepada anak guam kami secara bersemuka," katanya.

Mohd Haizal berkata, kegagalan memenuhi tuntutan dalam tempoh ditetapkan akan menyebabkan pihaknya meneruskan tindakan melalui pemfailan saman sivil di mahkamah.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Ruhainies, Fakhrul Azman berkata pihak polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Siasatan itu berkaitan dakwaan fitnah serta penyebaran kandungan yang didakwa palsu, jelik dan mengancam.

"Kami difahamkan, dalam beberapa hari lagi, individu yang diadukan akan dipanggil untuk memberikan keterangan di Balai Polis Dang Wangi. Kami juga akan mengemukakan maklumat berkaitan dua lagi individu yang sudah dikenal pasti.

"Sebenarnya, kami mempunyai dokumen berkaitan termasuk gambar dan bahan lain, tetapi tidak mengemukakannya pada hari ini," katanya.

Ruhainies tidak lagi ambil mudah mengenai isu tersebut. 

Menurut Fakhrul, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana dakwaan yang tersebar bukan sahaja memberi kesan kepada reputasi anak guamnya, malah turut mengaitkan individu lain yang juga figura awam.

Katanya, komen pengguna di platform Threads memberikan gambaran seolah-olah Ruhainies mempunyai hubungan dengan beberapa individu yang mempunyai kemampuan kewangan, sedangkan dakwaan berkenaan disifatkan tidak benar.

Hasil semakan pihaknya mendapati hantaran berkenaan sudah dikongsi semula kira-kira 209 kali, menerima sekitar 1,400 perkongsian dan meraih tontonan sehingga 2.7 juta.

Dalam pada itu, Ruhainies berkata, dia pernah berdepan dakwaan seumpama itu sebelum ini dan pada awalnya memilih untuk membuat penjelasan menerusi media bagi menafikannya.

Namun, pengalaman lalu membuatkan pelakon itu merasakan tindakan undang-undang perlu diambil bagi menunjukkan keseriusannya menangani perkara berkenaan.

"Beberapa hari lalu, saya menjadi mangsa fitnah. Namun, perkara ini sebenarnya bukan baharu kerana sebelum ini saya pernah berdepan situasi sama.

"Sebelum ini, saya cuba menafikan dakwaan berkenaan menerusi media. Bagaimanapun, apabila saya membuat penafian, ada pihak yang seolah-olah menganggapnya tidak serius dan berpendapat sesiapa sahaja boleh membuat penafian.

"Jadi, sekarang saya merasakan sudah tiba masa untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menunjukkan keseriusannya dalam terhadap isu ini serta menegaskan bahawa dakwaan berkenaan hanyalah tuduhan dan fitnah," katanya.

Artikel Lain