Kira-kira 50 Orang Asli membuat laporan polis susulan dakwaan yang tular di media sosial. -Foto Bernama
KIRA-KIRA 50 Tok Batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari tiga daerah membuat laporan polis pada Selasa susulan dakwaan berunsur fitnah yang tular di media sosial terhadap Tok Batin Kampung Orang Asli (KOA) Lubuk Gaharu, Mohd Asmmadi Abdullah. Mereka yang terdiri daripada wakil masyarakat Orang Asli dari daerah Batang Padang, Muallim dan Kinta tampil membuat laporan berhubung tuduhan yang dikaitkan dengan penemuan semula pendaki wanita, Jaslinda Saludin di Gunung Batu Putih pada 6 Jun lalu.Tok Batin KOA Lata Kinjang, Rani Bah Ulin berkata, laporan itu dibuat selepas tular kandungan video dimuat naik seorang pengguna media sosial yang didakwa mengeluarkan kenyataan tidak berasas sehingga mencemarkan nama baik Mohd Asmmadi dan institusi kepimpinan Tok Batin.Menurutnya, masyarakat Orang Asli kecewa dengan dakwaan bahawa kononnya Mohd Asmmadi menyembunyikan atau menahan Jaslinda sepanjang tempoh wanita itu dilaporkan hilang sebelum ditemui oleh penduduk Orang Asli berhampiran KOA Lubuk Gaharu."Dakwaan itu tidak berasas dan amat menyakitkan hati masyarakat Orang Asli seolah-olah kami mengambil kesempatan atas musibah yang menimpa orang lain."Kami melihatnya sebagai penghinaan bukan sahaja terhadap Tok Batin Asmmadi, malah terhadap keseluruhan institusi Tok Batin yang selama ini membantu masyarakat tanpa mengira kaum, khususnya ketika berdepan situasi kecemasan," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah.Sebelum ini, satu klip video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok 'jokerspillthetea77' tular selepas mendakwa Jaslinda dikurung oleh Tok Batin selama dua minggu dan mungkin dikahwini sekiranya kes itu tidak menjadi tular.Sementara itu, wakil belia Orang Asli, Eris Joshan Chew Ho Beng, 22, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang bertanggungjawab menyebarkan dakwaan berkenaan kerana ia mencemarkan imej Tok Batin yang terlibat dalam operasi pencarian mangsa.Menurutnya, tuduhan tersebut turut memberi gambaran negatif terhadap keseluruhan komuniti Orang Asli di Malaysia."Tok Batin merupakan pemimpin yang dihormati dan menjadi tonggak kepimpinan masyarakat Orang Asli. Sebarang penghinaan terhadap mereka secara tidak langsung memberi kesan kepada seluruh komuniti Orang Asli di Malaysia."Kami juga mempunyai maruah yang perlu dihormati kerana apa yang dianggap gurauan oleh sesetengah pihak boleh menjadi penghinaan yang memberi kesan kepada seluruh masyarakat," katanya.Beliau berharap tindakan undang-undang yang sewajarnya dapat diambil terhadap individu terbabit sebagai pengajaran agar tiada pihak memandang rendah atau menghina institusi Tok Batin serta komuniti Orang Asli pada masa akan datang. -The Star