PENDEDAHAN tentang kewujudan sebuah struktur bangunan flat yang didirikan secara haram di Kampung Kenangan, Sungai Makau, Hulu Langat, Selangor oleh selebriti yang juga penyampai radio, Azad Jasmin mencetuskan kebimbangan ramai.Video yang mula tular sejak Selasa itu bagaimanapun tidak memperincikan tentang sama ada ia masih berpenghuni atau sudah ditinggalkan. Namun ia dikaitkan dengan pelarian Rohingya."Saya tengah shooting dekat Hulu Langat ni, saya berhenti semata-mata sebab tak faham tentang rumah ni."Saya tak faham rumah ni, buat sendiri ke? Peliklah, macam mana kira rumah ni, tak faham. "Pelik tau rumah ni. Dekat mana ni... aku kat mana ni," demikian perkongsiannya sambil menunjukkan kawasan sekitar lokasi tersebut.Menerusi klip yang dikongsikan selebriti yang popular dengan panggilan Pak Azad itu, premis tiga tingkat itu dilihat seperti bangunan tidak siap dengan bahagian koridornya ditutupi zink.Susulan penularan video tersebut, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, bangunan berkenaan pernah diserbu pihak berkuasa pada Februari tahun lalu.Jelas beliau, dalam serbuan secara bersepadu itu, seramai 42 warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan terdiri daripada 35 lelaki dan tiga wanita serta empat kanak-kanak."Kesemua tangkapan disiasat oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bawah Seksyen 51(3)(a) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) akta yang sama," katanya dalam kenyataan pada Selasa.Naazron berkata, seorang lelaki tempatan yang mengaku anak pemilik rumah turut dikenakan tindakan."Satu Borang IMM 29 (Saman Kepada Saksi) dan satu Borang Geledah Seksyen 51(1) Akta Imigresen 1959/63 dikeluarkan kepada lelaki berkenaan di lokasi."Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dan jika terdapat sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian NG MERS 999 atau Pusat Kawalan Daerah Kajang ditalian 03 89114243," katanya.Beliau turut mendedahkan, kediaman itu kini didiami dua keluarga iaitu pemilik premis dan penyewa warga tempatan.