suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Lepas ‘ceraikan’ Bersatu, PAS digesa ‘rujuk’ semula dengan Umno

PAS digesa kembali bekerjasama dengan Umno selepas berpisah dengan Bersatu.

BELUM reda isu 'perceraian' politik antara PAS dan Bersatu, kini timbul pula desakan kuat agar PAS dan Umno kembali duduk semeja.

Kerjasama itu dilihat sebagai formula terbaik untuk menyatukan semula kuasa politik Melayu-Islam yang kini semakin rapuh.

Menurut Ahli Jawatankuasa Lajnah Penerangan PAS Melaka, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, kedua-dua parti terbesar Melayu ini perlu berjiwa besar dan 'move on' daripada sengketa lama demi masa depan bangsa dan negara.

"PAS serta Umno boleh menjadi pemangkin untuk menghimpunkan semua parti politik Melayu di bawah satu bumbung perjuangan melalui konsep 'payung besar' yang pernah disarankan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Segala kepentingan serta hak kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan juga perlu terus dipelihara bagi menjamin perpaduan nasional," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kata Khairuddin, PAS selama ini konsisten memainkan peranan mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam daripada sebarang ancaman yang boleh menggugat kedudukannya.

ARTIKEL BERKAITAN: PAS dan Bersatu sah ‘bercerai', bawa haluan masing-masing

Menurutnya, tanggungjawab sama perlu dipikul bersama oleh Umno, parti-parti politik Melayu lain serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Perbalahan sesama Melayu mesti dihentikan segera sebelum malapetaka besar menimpa keseluruhan bangsa kita.

"Orang Melayu hari ini mahu melihat perpaduan yang kukuh sebagai satu ikatan yang tidak mudah dirungkai oleh mana-mana pihak," ujarnya.

Jelas Khairuddin, sikap PAS yang terus membuka ruang kerjasama dengan Umno demi agenda perpaduan Melayu wajar dipuji dan diteruskan.

Tambahnya, PAS kekal komited dalam usaha menyatupadukan orang Melayu secara menyeluruh dan berterusan seperti yang sering disarankan oleh Dr Mahathir.

Pada Isnin, PAS mengumumkan penamatan rasmi kerjasama politik dengan Bersatu selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat selepas parti berkenaan meneliti kedudukan serta hala tuju kerjasama PAS-Bersatu berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.

Pada masa sama, PAS turut menyatakan keterbukaan menerima hasrat pelbagai pihak termasuk tokoh akademik, golongan profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat yang berminat menyertai perjuangan parti itu.

Artikel Lain