IBU kepada dua kanak-kanak yang terjatuh dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Tampoi, Johor, kini ditahan pihak polis untuk siasatan lanjut. Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, penahanan wanita warga asing berusia 37 tahun itu adalah bagi membantu siasatan lanjut berhubung insiden yang berlaku."Anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara menahan ibu mangsa pada pukul 12 tengah hari Ahad, bagi membantu siasatan."Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing didapati negatif daripada sebarang dadah."Suspek dibawa ke Mahkamah Johor Bahru pada Isnin bagi mendapatkan perintah tahanan reman," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Tambah beliau, beberapa saksi di tempat kejadian juga sudah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001."Punca sebenar dan motif kejadian masih dalam siasatan polis dan tangkapan ke atas ibu mangsa ini akan merungkai punca sebenar kejadian," katanya.Beliau turut mengalu-alukan orang ramai tampil menyalurkan sebarang maklumat berhubung kejadian di balai polis berhampiran atau menerusi talian hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau talian bilik gerakan ibu pejabat Polis Kontinjen Johor, 07-2212999.Terdahulu, Ab Rahaman memaklumkan, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 8.27 pagi, Ahad daripada seorang perempuan warga tempatan yang memaklumkan dua kanak-kanak jatuh dari tingkat 12.Tragedi ngeri menyayat hati itu melibatkan kanak-kanak berusia 10 tahun dan adiknya, lapan tahun dengan keadaan seorang maut dan seorang lagi parah.