PELAWAK dan pelakon, Zizan Razak menjadi perhatian apabila kisah kebaikan hatinya membantu individu dalam kesusahan termasuk menghulurkan sumbangan kepada rakan seperjuangan, Amir Raja Lawak untuk tujuan perubatan bapanya tular di media sosial.
Mengulas mengenai perkara itu, Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 41 berkata, segala yang dilakukan niat kerana Allah dan bukannya untuk meraih pujian orang ramai.
“Saya buat kerana Allah, apa yang saya dapat hari ini pun bukan kerana saya seorang, tapi sebab doa orang ramai termasuk ibu bapa dan peminat. Saya percaya apa yang saya dapat bukan milik saya seorang, jadi saya kongsi ketika orang lain dalam keadaan susah,” katanya kepada mStar.
Zizan memaklumkan perkara itu ketika ditemui selepas Majlis Sidang Media Polis Evo Wonda-Ful 10 Years di TGV, KLCC pada Rabu.
Tambah Zizan, dia pada awalnya tidak suka perkara sebegini didedahkan, namun percaya mungkin ada hikmah apabila kebaikannya diketahui umum kerana dapat dijadikan inspirasi kepada orang lain.
“Perkara ini kalau boleh saya suka sorok, tetapi saya fikir ada baik Allah buka cerita ini bukan untuk saya rasa bangga, tapi untuk beri inspirasi kepada orang. Itu sahaja, saya fikir positif kerana saya takut kebanggaan itu akan melalaikan saya,” ujarnya.
TONTON VIDEO TEMU BUAL YANG DISEDIAKAN MSTAR INI

































































































































































