PELAKON Arja Lee meluahkan rasa syukur apabila usahanya dalam mengangkat martabat seni dan budaya di Kelantan akhirnya membuahkan hasil apabila Kota Bharu bakal dicalonkan sebagai World Craft City di bawah naungan World Craft Council (WCC).
Menurut Arja atau nama sebenarnya Arja Azharudin Ramli, 42, dia tidak menyangka usaha yang dijalankannya bersama Malaysian Craft Council (MCC) hampir enam tahun lalu mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.
“Sangat berbaloi buat saya setelah bermastautin di Kelantan hampir enam tahun untuk memberikan fokus kepada Malaysian Craft Council bagi mengangkat martabat Kota Bharu untuk dikenali di mata dunia.
“Kami mahu mengangkat martabat budaya, kesenian dan juga ekonomi yang berada di Kelantan supaya lebih dikenali dan tidak menyangka apabila usaha kami mendapat perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan.
“Alhamdulilah Kota Bharu bakal dicalonkan sebagai World Craft City dan dengan ini selain Kelantan tetapi nama Malaysia juga akan dikenali di serata dunia,” katanya kepada mStar.
TONTON VIDEO PENUH DISEDIAKAN MSTAR INI.

































































































































































