suria

Amin Idris nasihat jangan normalisasi dedah dosa di media sosial, minta Iman Kamil rujuk pakar

PENDAKWAH selebriti, Amin Idris menegaskan cara terbaik menasihati individu yang berdepan masalah tekanan hidup bukanlah semudah hanya menyuruh mereka menunaikan solat semata-mata.

Kata Amin, menerusi Surah Maryam ayat 22 hingga 26, terdapat pendekatan lebih menyeluruh yang boleh dijadikan panduan dalam menangani isu berkenaan.

“Ayat ini nak beritahu bahawa dalam kita nak beri nasihat kepada orang yang ada masalah, ia tidak semudah hanya berkata ‘jagalah solat’.

“Buktinya, Allah sendiri menceritakan Maryam sebagai seorang wanita beriman yang diperintahkan untuk mencari ketenangan di sungai serta makan makanan yang baik.

“Ringkasnya, Allah berikan solusi dalam kita menghadapi masalah mental dengan menjaga aspek biologi, psikologi, sosiologi dan juga spiritual,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Amin turut menitipkan nasihat kepada pempengaruh Iman Kamil yang menjadi perhatian selepas mendedahkan telah mencacah tatu di lengan kiri susulan fasa sukar dilalui dalam kehidupannya.

“Kepada Iman Kamil, belum terlambat untuk mendapatkan bantuan. Jangan sampai kita menyalahkan orang lain kerana tidak membantu, sedangkan kita sendiri tidak pernah meminta bantuan dengan cara yang betul.

“Minta bantuan bukan di media sosial, tetapi daripada mereka yang benar-benar pakar,” jelasnya.

Terdahulu kecoh di media sosial apabila Iman Kamil memuat naik video mengakui dirinya mencacah tatu pada tubuh susulan fasa sukar dilalui dalam kehidupannya.

Dalam pengakuan pempengaruh itu, tatu berkenaan didakwa membawa simbolik perjalanan hidup, ujian serta pengalaman peribadi yang pernah ditempuhinya.

TONTON VIDEO PENUH TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi