MASIH belum terfikir untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat, penyanyi Ismail Izzani kini hanya mahu memberikan fokus kepada diri dan keluarganya sahaja.
Kata Ismail atau Ismail Izzani Zainal Nazeri, 25, dia juga tidak ambil peduli khabar angin mengatakan dia bakal berkahwin tidak lama lagi.
“Komen-komen begitu saya sudah dapat sejak empat tahun lepas lagi. Macam-macam yang dia buat kepada keluarga saya termasuklah bercakap buruk tentang kami. Namun, bagi saya tiada guna untuk saya ambil tindakan susulan.
“Untuk sekarang ini saya tidak terfikir untuk tamatkan zaman bujang. Saya bukan jaga hati sesiapa, tetapi hanya menjaga hati sendiri. Mahu beri fokus kepada diri dan keluarga sahaja,” katanya kepada mStar.
Malah menurut pelantun lagu Luar Biasa ini, keghairahan terhadap karier nyanyiannya juga tidak lagi sama seperti awal kemunculannya dulu.
“Kerja sekarang berbeza. Kalau dulu gembira, namun sekarang ini saya banyak berfikir dahulu. Ini kerana saya sudah lalui beberapa perkara yang tersimpan dalam diri membuatkan saya takut.
“Namun, ada juga yang saya tidak berasa selesa dengan tempat atau kedudukan yang saya ada sekarang ini. Tetapi bila fikir balik, ramai yang lagi susah di luar sana,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Ismail baru sahaja melancarkan lagu baharunya bertajuk Tenggelam yang ditulis sendiri olehnya bersama Brendan Lim Seng Meng.
TONTON VIDEO TEMU BUAL YANG DISEDIAKAN MSTAR INI