Gadis ini ada cara unik abadikan memori ketika melancong, siap buat poskad sendiri! - Video | mStar

Gadis ini ada cara unik abadikan memori ketika melancong, siap buat poskad sendiri!

SEBUT sahaja melancong anda pasti terbayang tentang pemandangan cantik, budaya unik di setiap tempat dan makanan yang sedap-sedap.

Bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan.

Sudah pasti momen-momen indah begini wajib diabadikan dalam potret sebagai kenang-kenangan.

Begitu juga dengan Acacia Mardiana Daud yang kini menjadi perhatian ramai di laman Instagram.

Ia gara-gara gambar yang dikongsikan memberi inspirasi buat 'kaki travel' atau setiap daripada kita yang punya angan-angan untuk meneroka dunia.

Menurut Acacia, dia mula mendalami dunia fotografi sebaik mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke luar negara ketika berumur 22 tahun.

"Kamera pertama yang saya beli adalah Canon 600D. Waktu itu saya beli sebab teruja dapat peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara.

"Sebab dapat belajar tempat menarik, saya terfikir perlu ada kamera sendiri. Meskipun ia agak mahal, saya terpaksa berjimat untuk dapatkannya.

"Sejak itu timbul minat mengambil gambar dan dari situ saya belajar teknik  dan cara mengambil gambar dengan betul," ujarnya kepada mStar Online.

Sehingga kini gadis berusia 27 tahun ini telah menjelajah ke 34 buah kota di dunia termasuk London, Sydney, Tokyo, Beijing, Istanbul, Amsterdam dan Cairo.

Namun Reykjavik di Iceland, Cairo, Mesir dan Tokyo, Jepun antara destinasi pilihan Acacia.

Selain itu gadis yang memiliki Ijazah Sarjana Seni Bina dari Universiti Greenwich, United Kingdom ini memiliki cara tersendiri mengabadikan memori ketika melancong.

Setiap destinasi yang dikunjungi, Acacia akan menghasilkan sebuah karya yang dilukis ke dalam sebuah buku nota yang dibawanya ketika melancong.

"Saya suka melukis, jadi ke mana sahaja destinasi yang saya pergi ia akan diabadikan dalam sebuah buku nota.

"Kemudian saya akan ambil gambar lukisan di salah satu lokasi ikonik. Projek kecil itu saya namakan sebagai karya cacia," katanya.

Ternyata, ideanya itu menjadi inspirasi buat pengikut Instagram yang turut berkongsi karya mereka ketika berada di luar negara.

Perkongsian mereka boleh dicari menerusi tanda pagar #LaKarya.

Setelah projek itu menerima sambutan baik daripada pengikut Instagram, Acacia cuba menghargai mereka yang berkongsi minat yang sama dengannya menerusi kiriman poskad ketika berada di luar negara.

"Suatu hari saya terfikir mengapa saya perlu beli poskad untuk dikirimkan sedangkan saya boleh menghasilkan sendiri menggunakan foto yang saya rakam," katanya.

Bagi Acacia dia lebih berminat merakamkan foto berkaitan seni bina dan lanskap kerana berkait rapat dengan jiwanya sebagai arkitek di sebuah syarikat di Petaling Jaya.

"Saya seorang yang gemarkan cabaran, saya suka meneroka dan rakam momen-momen menarik.

"Dengan melancong, anda dapat melihat lanskap yang sangat cantik dan anda akan rasa gembira untuk ambil gambar," katanya.

Acacia Mardiana Daud , Canon
Semua
Hiburan
Berita
Variasi