Bubur kari Abang Wheelchair 'sempoi' tapi enak - Video | mStar

BUBUR nasi menjadi hidangan unik yang semakin menjadi kegemaran orang ramai.

Buat anda yang mungkin sudah bosan dengan nasi dan inginkan variasi dalam sajian harian boleh cuba bubur kari Abang Wheelchair.

Memulakan perniagaan sejak September lalu, Ahmad Maembong bersama rakannya Muhammad Azwan Jainuddin menawarkan bubur kari dan bubur rendang sebagai sajian utama.

Menurut Ahmad, aroma kari serta kuah yang tidak terlalu pekat dan dimakan dengan sambal ikan bilis pedas membuatkan bubur nasi yang dijual lebih istimewa, lain daripada yang lain.

"Kari kami tidak kelat dan pekat seperti kari lain. 
Kuah itu sengaja kami buat seperti 'kari susu' agar ia boleh dihirup dan sesuai dimakan bersama bubur.

"Paling menarik, kami akan letak sambal tumis ikan bilis special dan ditabur bersama bawang goreng.

"Yang sukakan pedas, anda boleh 'request' sambal lebih," katanya.

Selain kari, pelanggan juga boleh mencuba bubur rendang Abang Wheelchair.

Meskipun rendang begitu sinonim sebagai juadah istimewa yang dihidangkan ketika Hari Raya, di gerai Abang Wheelchair anda boleh makan pada bila-bila masa sahaja.

"Rata-rata kita mesti sukakan rendang dan selalunya kita makan dengan nasi impit.

"Jadi untuk pernigaan saya ni, saya nak bawakan sesuatu yang baharu dan terfikir untuk mencubanya dengan bubur.

"Alhamdulillah, tak sangka pula ianya mendapat sambutan yang menggalakkan dari orang ramai," ujarnya.

Bubur Abang Wheelchair terletak di hadapan Restoran RM Saribu di Sri Rampai, Wangsa Maju ini turut menawarkan servis penghantaran makanan ke rumah.

Hanya dengan tempahan menerusi aplikasi Whatsapp dan pembayaran secara tunai, tempahan bubur berlauk anda sedia dihantar ke destinasi pada jarak tidak lebih 15 kilometer dari lokasi gerai.

Menurut Ahmad, idea menjual bubur rendang itu timbul selepas sebulan mereka berniaga.

Biarpun Ahmad merupakan seorang OKU, dia juga mahu berjaya seperti insan normal yang memiliki pendapatan sendiri.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai idea untuk memulakan perniagaan Ahmad berkata, Abang Wheelchair ditubuhkan bagi membantu menampung kos perubatan bapa Azwan.

"Saya sangat rapat dengan ayah Wan mereka ibarat keluarga saya juga. Ayah dan ibu Wan kedua-duanya orang kekurangan upaya (OKU).

"Ayah Wan sering bantu jika saya dalam kesusahan. Dia pernah bantu membaiki kerusi roda saya. Satu hari, ayah Wan diserang angin ahmar.

"Wan terpaksa berhenti kerja untuk jaga ayah dia. Jadi mereka tiada sumber pendapatan.

"Umi pula boleh masak, jadi kami cuba dengan perniagaan ini untuk mengumpul wang buat terapi ayah, katanya.

bubur abang wheelchair , rampai
Semua
Hiburan
Berita
Variasi