Aroma ayam golek Baling paling menyengat! - Video | mStar

ADUNAN rempah istimewa serta penyediaannya berkonsepkan tradisional menjadikan Ayam Golek Baling antara yang paling popular sekitar Kuala Lumpur.

Memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di sekitar Kepong, Selangor, Shaharin Ahmad, 46, berkata penggunaan rempah istimewa sebagai bahan utama perapan ayam menjadikan aroma Ayam Golek Baling lain daripada yang lain.

"Proses perapan ayam menggunakan herba tradisional seperti serai, halia, ketumbar dan jintan manis biasanya dilakukan dua jam sebelum dibakar bagi memastikan kombinasi rempah itu menyerap ke dalam isi ayam.

"Menariknya di sini kami tidak menggunakan dapur gas sebaliknya mengekalkan ciri tradisional iaitu menggunakan arang, menjadikan aroma ayam golek ini lebih menyengat," katanya ketika ditemui mStar Online.

Selain itu, Shaharin atau lebih dikenali sebagai Abang Black berkata, idea memperkenalkan ayam golek ini tercetus apabila hidangan yang sangat popular dalam penduduk di Baling, Kedah ini sukar didapati terutama di ibu kota.

"Sebelum memulakan perniagaan ayam golek ini, saya terlebih dahulu menjual nasi lemak di sekitar Jinjang.

"Saya sentiasa memikirkan mengenai menu lain bagi mengembangkan perniagaan ini dan saya dapati ayam golek Baling sukar didapati di sini.

"Alhamdulillah, resepi rakan baik saya ini diterima ramai dan setakat ini hampir 100 hingga 150 ekor ayam berjaya dijual setiap hari, ujarnya.

Beroperasi setiap hari selama 24 jam, warung Abang Black Corner ini turut memperkenalkan pelbagai menu menarik lain untuk sarapan pagi dan makan malam.

Alamat: Warung Abang Black Corner, Jalan Metro Perdana Timur 1, Taman Usahawan Kepong, 52100 Kuala Lumpur

Semua
Hiburan
Berita
Variasi