suria

JoBranko tetap pilih karya asli berbanding AI, anggap diri ‘kilang lagu’... “Itu kerja saya dah buat 40 tahun”

GITARIS kumpulan Barbarik iaitu JoBranko masih berpegang pada sentuhan manusia dalam pembikinan sesebuah lagu meskipun karya berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) semakin mendapat perhatian ketika ini.

Menurut Jo atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 57, pengalaman lebih 40 tahun dalam industri muzik menjadikan dia yakin dengan keupayaan menghasilkan karya asli tanpa bergantung sepenuhnya kepada teknologi.

Malah, Jo menyifatkan dirinya juga ibarat “kilang lagu” kerana mampu mencipta karya secara konsisten hasil pengalaman luas dimiliki sepanjang bergelar anak seni.

“Saya masih lagi kekalkan sentuhan manusia dalam buat lagu sebab itu kerja saya dah buat 40 tahun. Jadi saya boleh buat lagu tanpa masalah apa-apa.

“Kira saya ini macam kilang atau AI juga, cuma saya lebih kepada pengalaman yang ada dan memastikan karya dihasilkan itu asli.

“Setakat ini AI boleh hasilkan lagu yang kedengaran seperti lagu biasa yang kita pernah dengar, cuma kita belum tahu bagaimana versinya pada masa akan datang,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Jo berkata dia tidak menolak penggunaan AI dalam industri seni, namun percaya manusia perlu sentiasa berusaha menjadi lebih kreatif bagi mengekalkan keunikan dalam penghasilan sesebuah karya.

“Saya tidak membangkang penggunaan AI. Bagi saya, sebagai manusia kita kena lebih kreatif untuk tempuh perkara-perkara seperti ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Jo bersama Barbarik bakal berkongsi pentas dengan Cromok menerusi konsert Black On White yang akan berlangsung di IdeaLive Arena pada 27 Jun depan.

TONTON VIDEO PENUH TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI

 



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi