suria

[V] Hakim dah bagi peluang Beego tetap enggan lafaz cerai... Linda Hashim reda tunggu proses mahkamah

PELAKON Linda Hashim mendedahkan suaminya, Beego masih enggan melafazkan cerai meskipun diberikan peluang oleh hakim ketika prosiding perbicaraan lafaz taklik yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Isnin.

Linda atau Norhazlinda Hashim, 42, berkata hakim telah mengemukakan pertanyaan kepada Beego sama ada mahu melafazkan cerai atau sebaliknya, namun pelakon itu memilih untuk meneruskan perbicaraan.

“Tadi sebenarnya ada soalan juga daripada hakim sama ada mahu lafaz cerai atau tidak. Namun dia (Beego) tetap tidak mahu beri kerjasama untuk lafaz cerai dan ingin membuat pembelaan diri.

Linda dakwa Beego enggan beri kerjasama. 

“Tak mengapalah, saya tunggu sahaja,” katanya kepada pemberita.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Syarie, Nadia Khamis. 

Sementara itu, Beego atau Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, yang turut hadir ke mahkamah enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Kalau bersama semula pun, keadaan akan jadi lebih teruk” - Linda Hashim sudah tawar hati dengan Beego 

ARTIKEL BERKAITAN: Linda Hashim sindir ‘Ustaz Beego’, persoalkan kenyataan suami tentang amalan tasbih digital

Kata Beego, sebagai defendan, dia sedia mengikuti prosiding yang telah ditetapkan.

“Kami sebagai pihak defendan memang kena ikut undang-undang. Saya datang pun sebab kena ikut undang-undang,” jawabnya ringkas.

Dalam perkembangan sama, peguam syarie yang mewakili Linda iaitu Nurul Fadzilah Kamaluddin memaklumkan mahkamah telah menerima pengesahan lafaz taklik daripada pihak defendan dan menyifatkan prosiding hari ini berjalan dengan baik.

Beego hadir bersama peguam, Muhammad Akmal Amzan.

“Sebentar tadi kita ada pengesahan lafaz taklik oleh pihak defendan. Alhamdulillah, hakim memberi respons yang sangat baik terhadap kes ini.

“Kami sangat bersyukur dan anak guam saya pun berpuas hati dengan kes hari ini. Cuma sekarang proses masih dalam siasatan dan akan ditangguhkan pada 18 Jun dan 9 Julai.

“Kami harapkan untuk dua tarikh akan datang ini kes akan selesai dengan baik dan semoga ada pengakhiran yang baik buat kedua-dua pihak,” jelasnya.

Linda bersama peguam mewakilinya. 

Sejak Januari tahun lalu, rumah tangga Linda dan Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, menjadi perhatian ramai apabila aktres berkenaan memfailkan perceraian atas alasan tiada persefahaman.

Mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun mencapai kata sepakat untuk rujuk pada 9 April 2023 serta membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan tiga anak mereka.

Linda bagaimanapun mendakwa mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, namun kembali bersama tidak lama selepas itu.

Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain