suria

[V] Rezeki anak Amyza Aznan dapat rakam lagu baharu, Adrian Adam terima tawaran 30 minit selepas buat persembahan di TTMM2

SELEPAS membuat kemunculan istimewa dalam program realiti Talk To My Manager musim kedua (TTMM2), pelakon Amyza Aznan tidak menyangka anaknya, Adrian Adam, menerima tawaran untuk merakam lagu baharu.

Amyza, 50, berkata sebelum ini dia pernah berharap ada komposer yang sudi menghasilkan lagu untuk Adrian, namun tidak menyangka peluang itu hadir hanya kira-kira 30 minit selepas persembahan anaknya.

“Sebelum ini memang pernah terdetik dalam hati, kalaulah ada mana-mana komposer yang sudi menghasilkan lagu untuk Adrian.

Persembahan Adrian mendapat perhatian ramai.

“Tetapi saya tidak sangka Allah gerakkan hati individu tersebut. Ini rezeki yang langsung tidak dijangka.

“Individu itu menghantar WhatsApp dan menawarkan untuk menghasilkan lagu buat Adrian sejurus selepas persembahan tadi (Ahad),” katanya kepada mStar.

Amyza berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media konsert minggu kelima TTMM2 yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak kedua Amyza Aznan kuat berdepan ujian, sempat kongsi perkembangan selepas disahkan hidap kanser tulang

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Cara jalan berubah, kaki bengkak... Berat badan anak Amyza Aznan makin susut sejak disahkan kanser tulang

Sementara itu, Adrian, 18, mengakui terkejut dan terharu apabila menerima tawaran untuk merakam lagu selepas persembahannya di pentas TTMM2 mendapat perhatian ramai.

Kata Adrian, peluang itu menjadi suntikan semangat buat dirinya untuk bangkit dan meneruskan minat dalam bidang nyanyian.

“Rasa terkejut dan gembira. Insya-Allah saya bersedia untuk mengikuti kelas vokal dan membuat persediaan bagi lagu ini.

Ini rezeki yang langsung tidak dijangka

AMYZA AZNAN

PELAKON

“Mungkin ini menjadi pemangkin semangat untuk saya terus berjuang. Saya anggap nyanyian sebagai satu terapi untuk kesihatan mental,” katanya.

Pada Ahad, Adrian membuat kemunculan khas di pentas TTMM2 dengan menyampaikan lagu Ku Mohon nyanyian Datuk Sheila Majid sambil berkerusi roda.

Kemunculan itu menerima tepukan gemuruh daripada penonton yang berdiri memberikan sokongan.

Adrian tidak dapat meneruskan penyertaan dalam TTMM2 susulan masalah kesihatan.

Malah, barisan juri turut menyifatkan Adrian mempunyai potensi besar dan mampu memberikan saingan sengit sekiranya bertanding sebagai peserta program tersebut.

Untuk rekod, Adrian sepatutnya menjadi salah seorang peserta TTMM2, namun terpaksa menarik diri selepas disahkan menghidap kanser tulang pada Februari lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain