Pengunjung perlu membawa pengecas mudah alih yang dilengkapi cop CCC sekiranya bercuti ke China. -Agensi
SETIAP negara mempunyai peraturan keselamatan tersendiri perlu dipatuhi pelancong, termasuk berkaitan barangan elektronik yang dibawa ketika menaiki pesawat.Bagi mereka yang merancang percutian ke China, ada satu perkara penting tidak boleh dipandang ringan, khususnya jika bercadang membawa pengecas mudah alih ataupun 'power bank' sendiri. Pihak berkuasa penerbangan China (CAAC) baru-baru ini telah memperketatkan peraturan membawa power bank dalam penerbangan domestik susulan peningkatan risiko kebakaran melibatkan peranti itu di dalam pesawat.Menerusi peraturan yang dikuatkuasakan, power bank yang dibawa dalam penerbangan domestik di China perlu mempunyai tanda pensijilan China Compulsory Certification (CCC) atau lebih dikenali sebagai logo 3C.Secara asasnya, CCC merupakan pensijilan keselamatan mandatori bagi produk tertentu yang dipasarkan di China. Ia boleh diibaratkan seperti pensijilan SIRIM di Malaysia yang menunjukkan sesuatu produk memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.Justeru, pelancong yang membawa sebarang peranti elektronik tanpa logo itu berisiko untuk dirampas ketika pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang.Walaupun sesetengah power bank tertera label 'Made in China', ia tidak semestinya mempunyai pensijilan CCC. Ini kerana terdapat produk yang dihasilkan di China khusus untuk pasaran eksport dan tidak tertakluk kepada keperluan pensijilan sama seperti produk pasaran domestik. -Agensi