KEHILANGAN seorang guru sekolah sejak 14 tahun lalu akhirnya kembali menjadi perhatian pihak berkuasa apabila polis menjumpai petunjuk baharu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan lelaki berkenaan.Ashish Som, yang juga terbabit dalam perniagaan kayu balak, dilaporkan hilang pada 28 Mei 2011 ketika berusia kira-kira 40 tahun. Mangsa yang menetap di Bhati Abhoynagar, Agartala, India itu dikatakan keluar menuju ke Kanchanpur atas urusan perniagaan sebelum gagal pulang ke rumah.Keluarga mangsa kemudian menerima beberapa panggilan telefon daripada individu yang mendakwa telah menculik Ashish dan meminta wang tebusan.Malah, keluarga dilaporkan sudah membayar kira-kira 2.5 juta Rupee (RM110,959) secara berperingkat, namun mangsa tetap tidak dikembalikan dan nasibnya terus menjadi tanda tanya selama bertahun-tahun.Tidak berpuas hati dengan perkembangan siasatan, keluarga Ashish kemudiannya membawa kes itu ke mahkamah bagi memohon siasatan lebih mendalam.Siasatan kes itu kembali menunjukkan perkembangan pada 16 September lalu apabila sisa rangka manusia dari tiga kubur tidak dikenal pasti dijumpai di sebuah tanah perkuburan di kawasan Sonbil.Susulan penemuan itu, polis mengambil sampel DNA ahli keluarga Ashish untuk dibandingkan dengan sisa rangka berkenaan. Bagaimanapun, keputusan ujian sampel rangka tersebut masih belum diperoleh.Menurut sumber polis, Hossain Ahmed yang dipercayai rakan kongsi perniagaan mangsa didakwa sebagai suspek dalam kes penculikan berkenaan.Dalam perkembangan terbaharu, Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Polis Tripura menahan seorang lelaki dikenali sebagai Baju di daerah Karimganj, Assam, pada Khamis.Baju ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan kes pembunuhan Ashish.Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti nasib sebenar mangsa serta mengesahkan sama ada sisa rangka yang ditemukan mempunyai kaitan dengan kes kehilangan Ashish. -Agensi