Azizulhasni menerima anugerah ijazah kehormatan itu yang diberikan oleh Tuanku Muhriz pada Sabtu. -Foto Bernama
MEMBAWA nama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke pentas dunia, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dilantik sebagai Duta Global universiti berkenaan sehingga Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.Menerusi kerjasama strategik itu, UKM turut menjadi penaja utama atlet yang lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman berkenaan, dengan logo universiti bakal tertera pada jersi dipakainya ketika menyertai kejohanan antarabangsa. Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sufian Jusoh berkata, pemilihan Azizulhasni berdasarkan pencapaian cemerlangnya dalam bidang sukan serta pengaruh dan reputasi antarabangsa dimiliki atlet berkenaan mampu membantu memperkenalkan nama UKM kepada masyarakat dunia."Kita mahu membawa nama UKM ke peringkat global. Jadi, kita memerlukan seorang tokoh dikenali di peringkat antarabangsa untuk membawa logo dan nama universiti."Mulai sekarang, logo UKM akan kelihatan pada jersi Azizulhasni," katanya kepada pemberita selepas Istiadat Konvokesyen UKM Ke-54 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Bangi, Selangor pada Sabtu.Pada majlis sama, Azizulhasni turut menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pembangunan Sukan) yang dikurniakan oleh Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.Sementara itu, Azizulhasni menyifatkan pelantikannya sebagai Duta Global UKM satu tanggungjawab besar dalam usaha membawa nama universiti berkenaan ke pentas antarabangsa menerusi penyertaannya dalam kejohanan utama."Setiap kali saya bertanding di luar negara, terutama dalam kejohanan besar seperti Sukan Olimpik, kita akan membawa nama UKM ke pentas antarabangsa."Selepas lebih 20 tahun bergelar atlet, saya merasakan ijazah kehormat ini antara pengiktirafan tertinggi pernah saya terima. Ia bukan sekadar sumber motivasi, tetapi juga satu tanggungjawab besar," katanya.Mengulas lanjut, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo itu berharap pengiktirafan berkenaan dapat membuka mata lebih ramai atlet muda mengenai kepentingan mengimbangi kecemerlangan dalam bidang sukan dan akademik.Katanya, kejayaan dalam sukan bukan penghalang untuk seseorang meneruskan pengajian, malah ilmu perlu dituntut sepanjang hayat tanpa mengira usia."Kita tidak seharusnya hanya memberikan tumpuan kepada sukan, sebaliknya perlu mengimbangi sukan dan pendidikan."Pembelajaran tidak terhad kepada usia, sebaliknya sesuatu yang perlu kita teruskan sepanjang hayat. Bagi saya sendiri, selepas bersara daripada sukan, saya ingin menyambung pengajian dan kalau boleh di UKM," katanya. -The Star