JASA seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu di dalam kelas, malah kesungguhan mereka membimbing murid mampu menjadi titik perubahan dalam kehidupan seseorang.Begitulah kisah menyentuh hati seorang lelaki yang dahulunya bergelut dengan pelajaran dan berada di kelas paling belakang, namun kini berjaya menggenggam ijazah Doktor Falsafah (PhD). Lebih bermakna, kejayaan Dr Sivam G. Tamilselvam diraikan bersama bekas guru Matematiknya, Nor Azian Zakaria, yang hadir membawa sejambak bunga pada majlis konvokesyen di Universiti Malaya (UM).Berkongsi cerita menerusi Facebook pada Rabu lepas, Sivam mengakui kehadiran guru yang pernah mengajarnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alam Megah itu cukup menyentuh perasaannya."Saya langsung tidak menyangka cikgu akan hadir ke majlis konvokesyen PhD saya, apatah lagi membawa sejambak bunga."Melihat cikgu menitiskan air mata kegembiraan benar-benar menyentuh hati saya," tulisnya.Mengimbau zaman persekolahan, Sivam berkata, Matematik merupakan antara mata pelajaran yang paling sukar dikuasainya.Sivam masih menyimpan buku latihan yang ditulis Nor Azian.Keadaan keluarga yang tidak mampu membiayai kelas tuisyen turut membataskan peluangnya mendapatkan bimbingan tambahan.Kekangan yang dihadapi itu membuatkan Nor Azian tampil membantunya.Dia yang mengetahui keadaan anak muridnya, sanggup meluangkan masa selepas tamat waktu persekolahan untuk memberikan tunjuk ajar dengan penuh kesabaran.Bagi Sivam, keputusan kepujian Matematik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2013 membawa makna yang cukup besar.Ia bukan sekadar pencapaian peperiksaan, sebaliknya hasil bimbingan seorang guru yang terlebih dahulu percaya terhadap kebolehannya ketika dia sendiri masih meragui kemampuan diri.Namun tanpa disangka 13 tahun kemudian, guru sama hadir menyaksikan anak muridnya meraikan kejayaan memperoleh PhD."Hanya cikgu yang tahu betapa susahnya kamu berjuang untuk sampai ke tahap ini," demikian kata-kata Nor Azian yang dikenang Sivam ketika pertemuan mereka pada majlis tersebut.Dalam penghargaan buat bekas gurunya, Sivam turut menyifatkan keikhlasan Nor Azian sebagai bukti bahawa tanggungjawab seorang pendidik melangkaui perbezaan kaum, agama dan latar belakang.Gambar kenangan Sivam bersama Nor Azian semasa di sekolah menengah.Menurutnya, setiap murid berhak diberikan peluang untuk berjaya."Cikgu, kejayaan ini milik cikgu juga. Terima kasih kerana percaya kepada saya ketika saya sendiri belum percaya kepada diri sendiri. Terima kasih kerana tidak pernah berputus asa terhadap seorang murid dari kelas paling belakang," tulisnya.Sivam yang turut pernah bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Hicom mendedahkan dia masih menyimpan buku latihan Matematik lamanya.Antara kenangan yang tersimpan pada helaian buku tersebut ialah catatan tulisan tangan Nor Azian menggunakan dakwat merah yang berbunyi, "Tahniah. 10 markah".Dia turut berkongsi gambar catatan berkenaan, pertemuan mereka pada majlis konvokesyen serta detik bekas gurunya menitiskan air mata kegembiraan."Hari ini, saya berdiri sebagai pemegang PhD. Sebahagian daripada kejayaan ini adalah hasil kepercayaan, kesabaran dan pengorbanan cikgu 13 tahun lalu. Kejayaan ini untuk cikgu," tulisnya. -The Star