Individu yang menjalankan perniagaan dari rumah boleh membuat tuntutan pengurangan cukai. -Gambar hiasan AI
RAMAI usahawan kecil memilih untuk menjalankan perniagaan dari rumah demi menjimatkan kos operasi, terutamanya bagi mereka yang baru mula bertapak.Namun, masih ramai yang tidak sedar bahawa sesetengah perbelanjaan harian daripada perniagaan di rumah sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk pengurangan cukai. Perbelanjaan seperti sewa rumah, bil elektrik dan langganan internet boleh dikira sebagai kos perniagaan walaupun hanya beroperasi dari rumah.Perunding kewangan Ahmad Zakwan Abd Rahman menerusi perkongsian di laman Threads menjelaskan, sebahagian kos itu mungkin boleh dikaitkan dengan perniagaan sekiranya terdapat asas yang munasabah untuk menentukan bahagiannya.Menurutnya, konsep yang boleh digunakan ialah apportionment iaitu membahagikan sesuatu perbelanjaan untuk tujuan perniagaan."Katakan kita menyewa rumah bersaiz 1,000 kaki persegi pada kadar RM2,000 sebulan dan satu bilik seluas 100 kaki persegi memang digunakan secara khusus sebagai home office."Secara ilustrasi pengiraannya: 100 ÷ 1,000 = 10 peratus. Jika keluasan ruang dijadikan asas apportionment, RM2,000 × 10 peratus = RM200 sebulan, yang membawa jumlah RM2,400 setahun," katanya.Konsep sama boleh dipertimbangkan bagi bil elektrik sekiranya asas pembahagian tersebut sesuai digunakan.Jika bil elektrik berjumlah RM300 sebulan dan kadar penggunaan untuk perniagaan dianggarkan 10 peratus, bahagian tersebut ialah RM30.Bagaimanapun, kadar apportionment tidak semestinya sama bagi setiap perbelanjaan.Penggunaan internet menurutnya mungkin mempunyai kadar berbeza sekiranya seseorang menganggarkan 60 peratus penggunaannya berkaitan urusan perniagaan.Pun begitu, Zakwan turut mengingatkan peniaga supaya tidak menjadikan pendaftaran perusahaan (enterprise) sebagai tiket untuk bebas cukai.Sebaliknya, sesuatu perbelanjaan yang mahu dituntut mestilah mempunyai perkaitan terus dengan penghasilan pendapatan perniagaan, selain kadarnya perlu disokong dengan asas munasabah."Kalau kata 10 peratus, kenapa 10 peratus? Kalau kata internet 60 peratus untuk business, apa asasnya?"Sebab itu bil, resit dan rekod pengiraan penting untuk disimpan dan kalau kita makan gaji sambil buat side business, jangan salah faham, ini bukan bermaksud home-office expenses tadi boleh sesuka hati ditolak daripada employment income," ujarnya.Zakwan dalam masa sama turut menegaskan bahawa contoh pengiraan apportionment berkenaan hanyalah ilustrasi dan bukan formula khusus ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).Oleh itu, peniaga perlu memastikan setiap tuntutan dibuat berdasarkan situasi sebenar yang berkaitan dengan perniagaan dijalankan serta disokong dengan rekod sesuai.