SEORANG remaja perempuan berusia 14 tahun dilaporkan mengalami trauma teruk selepas didakwa menjadi mangsa serangan seksual sebanyak tiga kali oleh jiran sendiri yang berusia 70 tahun.Lebih menyedihkan, mangsa kini masih berasa takut setiap kali melihat lelaki susulan kejadian yang didakwa berlaku antara 10 hingga 30 Oktober lalu. Ketua Jabatan Pembangunan Wanita dan Perlindungan Kanak-Kanak (DP3KB) di Brebes, Eni Listiana berkata, ibu mangsa membuat laporan polis pada 31 Oktober selepas mengetahui insiden yang berlaku di Bumiayu, Brebes, Indonesia itu.Menurut Eni, ibu kepada remaja perempuan itu pada awalnya menyangka masalah kesihatan yang dialami anaknya mempunyai kaitan dengan haid.Keluarga mangsa tidak mengesyaki perkara lain sehinggalah keadaan remaja perempuan itu berlarutan selama beberapa hari tanpa menunjukkan tanda pulih.Curiga melihat keadaan tersebut, si ibu bertanyakan hal sebenar kepada anaknya yang akhirnya mendedahkan bahawa dia menjadi mangsa serangan seksual.Bagaimanapun, laporan portal tempatan tidak memperincikan masalah kesihatan yang dialami mangsa.Malah tidak dinyatakan juga sama ada remaja itu hamil.Eni berkata, pihaknya sudah memberikan khidmat sokongan kepada mangsa termasuk menguruskan pemeriksaan perubatan di hospital.Remaja itu kini masih mengalami trauma dan pihaknya merancang membawa remaja perempuan itu ke pusat perlindungan bagi membantu proses pemulihan emosi.Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Eni berkata, suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan ketika mangsa pulang dari masjid selepas menunaikan solat Subuh.Lelaki berkenaan didakwa mempelawa mangsa ke rumahnya dengan alasan mahu memberikan barangan keperluan asas sebelum melakukan serangan seksual.Mangsa turut diugut supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa.Sementara itu, Ketua Polis Sektor Bumiayu, AKP Edi Mardiyanto berkata, kes berkenaan kini dikendalikan Unit Perlindungan Perempuan dan Anak (PPA) Polis Daerah Brebes. -Agensi