suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

FFM35 malam ini rai semangat perpaduan dalam sinema Malaysia, lima filem ungguli pencalonan

Khadam dan Malam Terlarang mendapat pencalonan tertinggi pada FFM35.

INDUSTRI perfileman tempatan bakal menyaksikan satu lagi detik bersejarah pada malam kemuncak Festival Filem Malaysia (FFM) ke-35 di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada malam ini.

Mengangkat tema Spektrum Sinema, penganjuran kali ini bukan sekadar meraikan penggiat seni di hadapan dan belakang tabir, malah memperlihatkan kepelbagaian wajah sinema negara menerusi saingan kategori paling berprestij iaitu Filem Terbaik.

Sebanyak lima buah karya hebat bakal berentap dengan dua filem seram, Khadam dan Malam Terlarang mendominasi 12 pencalonan, diikuti Mother Bhumi dan Abah Saya Uncle Mike (lapan pencalonan) manakala Macai (enam pencalonan).

Filem Khadam arahan Shamyl Othman tampil dengan pendekatan seram yang menggabungkan unsur supernatural bersama konflik psikologi dan kekeluargaan menerusi kisah Melor yang mewarisi saka keluarganya sebelum entiti itu menjelma sebagai versi dirinya yang lebih sempurna.

Abah Saya Uncle Mike mendapat lapan pencalonan. 

Dibintangi Aghniny Haque, Datuk Remy Ishak dan Siti Khadijah Halim, karya berkenaan turut mencuri tumpuan apabila tercalon dalam kategori utama termasuk Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Cerita Asal Terbaik serta Sinematografi Terbaik, sekali gus menjadikannya antara calon paling seimbang.

Pencabar terdekat, Malam Terlarang arahan Allahyarham Norhanisham Muhammad atau Labu pula berlatarkan era penghujung 1980-an yang mengadunkan elemen mistik, kepercayaan tradisional dan pergolakan politik menerusi lakonan mantap Shasha Abedul, Datin Sofia Jane dan Zul Ariffin.

Selain mencatat kutipan pecah panggung sekitar RM12.2 juta berdasarkan statistik Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), filem ini turut mengungguli empat kategori Pemenang Kebangsaan Malaysia pada Asian Academy Creative Awards (AACA) 2026 termasuk Filem Cereka Terbaik dan Pengarahan Terbaik.

Andai Malam Terlarang dinobatkan sebagai pemenang, kejayaan itu pasti membawa makna mendalam sebagai penghormatan terakhir buat legasi seni Allahyarham Labu yang meninggal dunia pada Mei lalu.

Dalam pada itu, Mother Bhumi arahan Chong Keat Aun mempertaruhkan kekuatan sinema artistik menerusi lakonan bintang terkenal China, Fan Bingbing sebagai Hong Im, seorang ibu tunggal dan pengamal rawatan tradisional di perkampungan Kedah pada penghujung 1990-an yang berdepan konflik perebutan tanah serta misteri kematian suaminya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesona Sinema FFM35 santuni ribuan mahasiswa, pelakon popular turun padang kongsi pengalaman industri

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Khadam’ raih 12 pencalonan FFM35, pengarah Shamyl Othman harap penulis skrip dan komposer bawa pulang trofi

Karya yang mengangkat hubungan manusia dengan budaya masyarakat berbilang kaum di utara tanah air ini sudah membuktikan taring di pentas dunia selepas memenangi tiga anugerah utama pada Golden Horse Awards Ke-62 tahun lalu termasuk Pelakon Wanita Terbaik menerusi Fan Bingbing, selain terpilih ke Tokyo International Film Festival.

Sementara itu, Macai arahan Sun-J Perumal tampil berani menerusi gabungan genre jenayah, thriller dan drama sosial yang berlatarkan negara fiksyen Lingapura, mengisahkan pengedar dadah bernama Siam yang terperangkap dalam krisis selepas kehilangan bekalan milik ketua sindiket berpengaruh.

Diarahkan oleh pengkarya yang pernah memenangi Filem Terbaik FFM28 menerusi Jagat, naskhah Macai memiliki rekod kritikal yang kukuh selepas terlebih dahulu dinobatkan sebagai Filem Terbaik pada Anugerah Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur Ke-11 pada Jun lalu.

Melengkapkan senarai lima calon akhir ialah Abah Saya Uncle Mike arahan Ezrie Gazali yang diinspirasikan daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong atau Uncle Mike, seorang lelaki berbangsa Cina yang membesarkan tiga anak angkat berbangsa Melayu dengan penuh kasih sayang.

Mother Bhumi menceritakan mengenai kisah perebutan tanah. 

Dibintangi Andy Teh, Idan Aedan, Merah Muhaimin dan Umar Shakur, kekuatan emosi serta mesej perpaduan merentasi perbezaan kaum dan agama menjadikan naskhah yang turut tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik serta Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik ini mampu mencipta kejutan tersendiri.

Pertembungan lima karya berbeza bahasa, genre dan pendekatan penceritaan ini membuktikan sinema Malaysia semakin matang serta tidak lagi terikat kepada satu acuan komersial semata-mata.

Lebih mendebarkan, FFM35 turut memperkenalkan sistem penjurian baharu apabila penilaian lima calon terbaik melibatkan kira-kira 100 hingga 150 bekas pemenang FFM yang menyumbang 70 peratus markah akhir, manakala baki 30 peratus ditentukan oleh panel juri profesional.

Mekanisme penjurian terbaharu ini menjadikan keputusan malam kemuncak sukar diramal kerana dominasi jumlah pencalonan belum tentu menjamin kemenangan mutlak berbanding keutuhan visi pengarahan dan kekuatan naratif.

Malam kemuncak FFM35 yang dikemudi oleh gandingan pengacara Datuk Afdlin Shauki dan Amelia Henderson itu akan dipancarkan secara langsung dari Istana Budaya bermula jam 8.30 malam menerusi saluran TV2 RTM serta YouTube rasmi Finas.

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain