Ismail menegaskan pendiriannya selaku Menteri Besar dan mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai YDP Negeri Sembilan.
KERAJAAN Negeri Sembilan terus mengiktiraf Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) terdahulu yang menyokong pengisytiharan 19 April bagi menyingkirkan Tuanku Muhriz akan dibatalkan secara rasmi. Menurutnya, pembatalan berkenaan akan direkodkan dalam minit mesyuarat Exco akan datang.Beliau menegaskan, pengisytiharan yang ditandatangani seorang Undang bersama tiga pembesar lain yang kedudukan mereka dipertikaikan itu tidak sah tidak akan diwartakan."Saya menegaskan semula sumpah setia yang dilafazkan dengan menjunjung al-Quran untuk menghormati serta memberikan taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz dan institusi diraja."Saya juga berikrar melindungi serta memelihara kedaulatan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan mengiktiraf kuasa Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan."Ikrar ini dibuat dengan memahami sepenuhnya kandungan serta kesannya, tanpa sebarang paksaan, ancaman atau pengaruh tidak wajar," katanya kepada pemberita di kediaman rasminya.Membacakan kenyataan, Ismail berkata, ikrar itu dibuat atas kesedaran bahawa beliau telah melakukan kesilapan ketika menerajui kerajaan negeri sebelum ini.Jelasnya, menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan semua anggota pentadbirannya terus menghormati dan memberikan taat setia kepada pemerintah negeri.Ismail turut menegaskan tidak akan melakukan atau membenarkan mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), jabatan, agensi mahupun pegawai kerajaan negeri bertindak menjejaskan kedaulatan, kedudukan, prerogatif, kuasa, hak atau keistimewaan baginda."Pentadbiran saya tidak akan menyokong, membantu atau memudahkan sebarang usaha mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar."Kami juga tidak akan mengiktiraf individu lain sebagai Yang di-Pertuan Besar atau menghidupkan semula pengisytiharan 19 April dan sebarang dokumen berkaitan," tegasnya.Menerusi pengisytiharan tersebut, pembesar terbabit menamakan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah negeri yang baharu.Dalam pada itu, Ismail berkata, Datuk Mubarak Dohak dan Datuk Maarof Mat Rashad masing-masing tidak lagi menyandang jawatan Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Jelebu mengikut hukum adat luak berkenaan.Menurutnya, Abdul Rahim Yasin pula tidak pernah dilantik secara sah sebagai Undang Luak Rembau mengikut adat ditetapkan kerana pelantikannya tidak disempurnakan melalui istiadat pengisytiharan yang diperlukan."Sehubungan itu, individu berkenaan tidak mempunyai kuasa sah untuk melaksanakan sebarang kuasa di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959," jelasnya.Ismail turut mengiktiraf ketetapan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bertarikh 31 Julai, 20 Ogos, 13 dan 18 September serta 4 November.Ketetapan itu antaranya berkaitan nasihat dewan berkenaan untuk mengiktiraf Datuk Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang baharu dan Datuk Hassan Abd Hamid sebagai Undang Luak Rembau yang baharu.Katanya, kedua-dua mereka dilantik mengikut adat luak masing-masing.Beliau juga menerima pemakluman Yang Mulia Ibu Soko dan waris adat Luak Sungei Ujong mengenai pelucutan gelaran pusaka Yang Amat Mulia Datuk Shahbandar Datuk Seri Utama yang disandang Badarudin Abdul Khalid, mengikut hukum adat luak tersebut.Sementara itu, Ismail memaklumkan beliau sudah menulis kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk menarik balik surat bertarikh 17 September yang menyatakan Tuanku Muhriz bukan lagi pemerintah negeri."Saya menegaskan bahawa surat itu tidak pernah mewakili pendirian kerajaan Negeri Sembilan dan pentadbiran saya tidak akan mengambil sebarang tindakan lanjut berhubung surat tersebut," katanya.Beliau turut berikrar bahawa sekiranya beliau atau mana-mana anggota kerajaan negeri melanggar aku janji itu, beliau bersama seluruh barisan Exco akan meletakkan jawatan dan mengemukakan peletakan jawatan secara rasmi kepada Tuanku Muhriz.Pada Jumaat, Ismail dikekalkan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selepas pertemuannya bersama Tuanku Muhriz di Istana Hinggap. -The Star