suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kentut kuat jangan malu, kentut senyap jangan bangga! Pakar bongkar kaitan dengan kesihatan usus

Bunyi dan bau kentut boleh dipengaruhi jenis makanan serta aktiviti bakteria dalam usus. -Gambar hiasan AI

KENTUT kuat tetapi tidak berbau? Jangan malu, ia mungkin petanda usus berada dalam keadaan baik.

Sebaliknya, kentut yang tidak berbunyi tetapi berbau busuk boleh menjadi isyarat untuk seseorang lebih peka terhadap kesihatan usus.

Pengasas syarikat penjagaan kesihatan, Dr Muhammad Nur Salehin Kornain berkata, bunyi dan bau kentut sebenarnya boleh memberikan gambaran mengenai proses pencernaan serta aktiviti bakteria dalam usus.

Menurutnya, keadaan itu berkait rapat dengan jenis makanan yang diambil, khususnya keseimbangan pengambilan serat dan protein dalam diet harian.

Bau kentut boleh menyebabkan rasa tidak selesa kepada orang sekeliling. -Gambar hiasan AI

Bau kentut boleh menyebabkan rasa tidak selesa kepada orang sekeliling. -Gambar hiasan AI

 

1. Kentut kuat tetapi tidak berbau

Dr Muhammad Nur Salehin menjelaskan, kentut yang tidak berbau lazimnya berkait dengan proses penapaian serat oleh bakteria baik dalam usus.

Apabila bakteria tersebut mendapat serat yang mencukupi untuk diproses, ia akan menghasilkan gas seperti karbon dioksida, hidrogen dan metana.

Gas-gas berkenaan secara semula jadi tidak mempunyai bau yang ketara.

Lebih menarik, proses penapaian serat turut menghasilkan Short-Chain Fatty Acids (SCFA) yang mempunyai sifat anti-radang dan membantu menyokong kesihatan usus.

2. Kentut tidak berbunyi tetapi berbau busuk

Sebaliknya, pengambilan serat yang rendah serta protein yang terlalu tinggi boleh mempengaruhi proses penapaian dalam usus.

Protein yang tidak dihadam sepenuhnya akan sampai ke usus besar sebelum diproses oleh bakteria di kawasan tersebut.

Proses penapaian protein ini boleh menghasilkan gas hidrogen sulfida serta sebatian seperti skatole dan indole yang menyumbang kepada bau busuk kentut.

Keadaan itu menunjukkan pentingnya menjaga keseimbangan pemakanan bagi menyokong kesihatan sistem pencernaan.

3. Bukan kurangkan protein, sebaliknya tambah serat

Menurut Dr Muhammad Nur Salehin, penyelesaian kepada masalah tersebut bukanlah dengan mengurangkan pengambilan protein, sebaliknya meningkatkan jumlah serat dalam pemakanan harian.

Jelasnya, pengambilan protein dan serat yang seimbang membolehkan bakteria baik dalam usus menjalankan proses penapaian serat dengan lebih baik.

Gabungan protein tinggi dan serat tinggi juga membantu memastikan bakteria usus mendapat sumber makanan yang diperlukan untuk menyokong fungsi sistem pencernaan.

4. Lobak merah, bayam dan buah-buahan antara pilihan

Bagi meningkatkan pengambilan serat, orang ramai boleh memasukkan pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan dalam menu harian.

Antara pilihan yang disarankan termasuk lobak merah, bayam, pisang dan buah kiwi.

Selain membantu melancarkan sistem pencernaan, serat juga menjadi sumber makanan kepada bakteria baik dalam usus.

5. Serat tambahan jika pengambilan makanan tidak mencukupi

Dalam perkongsian sama, Dr Muhammad Nur Salehin turut menyarankan pengambilan suplemen sebagai sumber tambahan bagi individu yang masih tidak mendapat serat mencukupi daripada makanan harian.

Menurutnya, produk yang menggabungkan prebiotik, probiotik dan postbiotik bertujuan menyokong keseimbangan bakteria usus serta kesihatan sistem penghadaman.

Bagaimanapun, suplemen bukan pengganti kepada pemakanan seimbang dan pengambilan serat daripada sumber makanan semula jadi.

6. Jangan abaikan kesihatan usus

Justeru, pemakanan seimbang dengan pengambilan serat mencukupi serta protein dalam jumlah bersesuaian penting untuk menyokong kesihatan usus.

Bagaimanapun, bau dan bunyi kentut sahaja tidak boleh dijadikan ukuran tepat untuk menentukan seseorang mempunyai usus yang sihat atau sebaliknya.

Jika masalah kembung, perubahan tabiat membuang air besar, sakit perut atau bau kentut yang luar biasa berlarutan, pemeriksaan doktor mungkin diperlukan.

Artikel Lain