Ramai yang kurang senang dengan perkongsian Khoo menyentuh isu penutupan premis ketika solat Jumaat. -Foto FB Khoo
AHLI Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong tampil memohon maaf secara terbuka susulan hantaran berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan di Kuala Terengganu ketika waktu solat Jumaat yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.Menerusi kenyataan pada Sabtu, Khoo mengakui terdapat kelemahan dalam cara dia menyampaikan pandangan sehingga menimbulkan salah faham, menyinggung perasaan dan mencetuskan keresahan, khususnya dalam kalangan umat Islam. Menurutnya, pemilihan kata-kata dan nada dalam hantaran berkenaan tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi apabila membabitkan isu agama dan sensitiviti masyarakat majmuk."Saya ingin menjelaskan yang saya amat menghormati agama Islam, amalan solat Jumaat serta hak umat Islam untuk menunaikan tuntutan agama mereka."Saya sama sekali tidak berniat untuk mempertikaikan atau memperkecilkan kepentingan ibadah tersebut," katanya dalam kenyataan dibuat menerusi laman Facebook itu.Tambahnya, sebagai wakil rakyat dan pemimpin, dia sepatutnya lebih berhati-hati, bertanggungjawab serta sensitif ketika menyampaikan sebarang pandangan kepada umum.Khoo turut menerima segala teguran dan kritikan yang diberikan dengan hati terbuka selain mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan dalam penyampaian tersebut."Saya akan mengambil iktibar daripada perkara ini dan lebih berhati-hati dalam setiap kenyataan pada masa hadapan."Sekali lagi, saya dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung atau terluka dengan hantaran saya. Saya memohon maaf dengan penuh keikhlasan," katanya lagi.Pada Jumaat, Khoo mempersoalkan arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang melarang aktiviti perniagaan dan hiburan ketika waktu solat Jumaat.