suria

[V] “Kalau bersama semula pun, keadaan akan jadi lebih teruk” - Linda Hashim sudah tawar hati dengan Beego

BAGAIKAN sudah tiada hati. Itulah yang diluahkan pelakon Linda Hashim apabila kes perceraian bersama suaminya yang juga aktor Beego masih belum menemui noktah walaupun sudah lebih setahun berlarutan.

Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 42, mengakui perasaan terhadap suaminya sudah lama terpadam dan tidak melihat sebarang ruang untuk kembali bersama kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih buruk.

"Bagi saya, memang dah tak ada apa yang boleh dipertahankan. Dah rosak semuanya. Kalau bersama semula pun, keadaan akan jadi lebih teruk. Dia sepatutnya lebih matang dan fikir masa depan,” katanya kepada mStar ketika ditemui di perkarangan mahkamah, petang Isnin.

Kata Linda tiada ruang untuk Beego dan dia kembali bersama.

Dakwa Linda, kesakitan yang dialaminya selama ini tidak pernah dirasai oleh suaminya, menyebabkan Beego seolah-olah menganggap segala masalah masih boleh diperbaiki.

Dia turut menyifatkan tindakan suaminya yang masih mahu mempertahankan perkahwinan itu sebagai sesuatu yang kejam, apatah lagi mengetahui keadaan emosi dirinya ketika ini.

"Perkara ini berlaku kepada saya, bukan kepada dia. Saya yang menanggung kesakitan bertahun-tahun. Dia tak pernah rasa, sebab itu dia rasa semuanya boleh diperbaiki. 

“Bagi saya, ini kejam. Maaf cakap macam itu tapi saya sudah tak boleh tahan sabar. Dia tahu keadaan saya macam mana, kes pun dah lebih setahun, tapi masih tak mahu mengalah.,” luahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia tak layak jadi khalifah” – Linda Hashim jawab tak perlu izin Beego pergi umrah 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Linda Hashim tahu lokasi Beego, dakwa suami tipu alasan kematian ahli keluarga

Sementara itu, Linda memaklumkan Beego memfailkan tuntutan wang tunai sebanyak RM10,000 tanpa alasan yang jelas.

Namun dia tidak terganggu dengan perkara tersebut malah ingin fokus kepada ibadah puasa sebelum ke tarikh prosiding baharu pada 9 April ini.

"Dia tuntut RM10,000 daripada saya. Dia masukkan pembelaan dan tuntut RM10,000 tapi tak nyatakan untuk apa.

"Mungkin kos-kos dia. Tapi tak apa, kita tak fokus sangat benda itu. Nafkah saya lagi banyak. Kita fokus pada pengesahan lafaz taklik jatuh atau tidak," tegasnya.

Linda tak terganggu dengan tuntutan wang daripada Beego.

Sejak Januari tahun lalu, rumah tangga Linda, dan Beego atau nama sebenarnya  Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, menjadi perhatian ramai apabila aktres berkenaan memfailkan perceraian dengan alasan tiada persefahaman.

Mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023, namun, mencapai kata sepakat untuk rujuk pada 9 April 2023 dan membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan tiga anak mereka.

Linda bagaimanapun mendakwa mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, namun kembali bersama tidak lama selepas itu.

Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6 tahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain