suria

Peguam sahkan Ustaz Yaakub Yusra ditahan SPRM, beri ruang siasatan… Belum dituduh bersalah

Wakil pihak Ustaz Yaakub Yusra berharap orang ramai tidak mencetuskan sebarang sepkulasi.

PENDAKWAH bebas, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof atau dikenali sebagai Ustaz Yaakub Yusra merupakan individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jumaat lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana dan salah guna kuasa.

Perkara itu disahkan peguam yang mewakilinya, Suzana Norlihan Alias daripada firman guaman Suzana Norlihan & Co ketika dihubungi mStar pada Sabtu.

Bagaimanapun Suzana meminta semua pihak supaya bertenang serta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan fitnah memandangkan anak guamnya masih berada di peringkat siasatan dan belum dituduh bersalah.

Ustaz Yaakub Yusra ditahan Jumaat lalu.

Menurut Suzana, proses siasatan masih berjalan dan orang ramai wajar memberi ruang sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan tugas secara profesional, adil dan telus tanpa sebarang tekanan atau pengaruh luar.

“Ketika ini beliau masih disiasat dan belum didakwa di mahkamah. Oleh itu, kami memohon semua pihak memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara adil dan profesional.

“Sebarang andaian awal, spekulasi atau penyebaran maklumat yang tidak disahkan bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah boleh menjejaskan proses siasatan yang sedang berjalan.

“Kami juga berharap masyarakat menghormati prinsip undang-undang bahawa seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah selagi belum diputuskan oleh mahkamah,” katanya.

Ustaz Yaakub Yusra akan diwakili oleh dua peguam iaitu Suzana serta Latheefa Beebi Koya sepanjang proses siasatan berlangsung bagi memastikan haknya terpelihara mengikut lunas undang-undang.

ARTIKEL BERKAITAN: Stesen TV Media Prima henti serta merta kemunculan pendakwah selebriti seleweng dana, salah guna kuasa

ARTIKEL BERKAITAN: Pendakwah popular direman bantu siasatan salah guna kuasa dana pusat pengajian agama di Sungai Petani

Dalam pada itu, Suzana turut menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan komen berunsur fitnah dan tidak benar yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

“Komen berunsur fitnah atau tohmahan melampau yang disebarkan tanpa bukti boleh menyebabkan pihak terlibat mengambil tindakan undang-undang.

“Kami juga ingin mengingatkan kepada pempengaruh dan pengguna media sosial supaya tidak mengambil kesempatan terhadap isu ini demi meraih tontonan atau perhatian kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja tidak beretika malah berpotensi membawa implikasi undang-undang,"katanya.

Pada Jumaat lalu media melaporkan seorang pendakwah bebas ditahan sekali lagi kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM1.3 juta.

Kami juga berharap masyarakat menghormati prinsip undang-undang.

SUZANA NORLIHAN ALIAS

PEGUAM

Perintah reman selama tiga hari sehingga 8 Februari dikeluarkan oleh Majistret Nur Amalina Abd Rahman selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah.

Terdahulu pendakwah sama direman selama sehari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan dana sebuah pusat pembangunan dan Pendidikan agama di Sungai Petani.

Difahamkan pendakwah itu bersama seorang lagi suspek wanita bersubahat meluluskan dana awam berjumlah RM600,000.

Difahamkan pendakwah tersebut telah dibebaskan, namun ditahan semula oleh pihak berkuasa. 

Untuk rekod, dibawah kepimpinan Ustaz Yaakub Yusra membangunkan pusat dakwah dan pendidikan yang dikenali sebagai Murtadha Dakwah Centre (MADAD) di Sungai Petani, Kedah pada 2019, pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan inisiatif kebajikan telah dilaksanakan bagi membantu golongan memerlukan.

Antara inisiatif yang pernah dijalankan termasuk pemberian khidmat pengurusan jenazah secara percuma ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah memberi manfaat kepada penduduk setempat. Ia secara tidak langsung meringankan beban pihak hospital berdekatan. 

Perintah reman selama tiga hari sehingga 8 Februari sejak Jumaat lalu.

Melalui Madad Care juga, Madad turut bertindak sebagai ‘frontliner’ dalam Misi Banjir Lumpur bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas diseluruh Malaysia sekitar tahun 2021 dan 2022. 

Selain itu, beliau turut dikaitkan sebagai antara pencetus fenomena solat Subuh berjemaah yang melibatkan penyertaan ramai golongan remaja, selain membuka ruang kepada agensi kerajaan dan masyarakat setempat menggunakan fasiliti disediakan untuk menjalankan aktiviti serta perniagaan kecil. 

MADAD juga menyediakan ruang pembelajaran yang selesa kepada pelajar tahfiz dengan yuran  serendah RM100 dan selebihnya adalah secara percuma, selain menyalurkan bantuan barangan keperluan asas seperti beras kepada individu dan keluarga yang memerlukan.

Artikel Lain