suria

Suka minum kopi manis sedikit demi sedikit? Anda pasti tinggalkan tabiat ini jika tahu kesannya

Ramai gemar menikmati kopi manis dengan menghirup atau menyedutnya sedikit demi sedikit. -Gambar hiasan AI

PEMINAT kopi sering mengamati rasa dan keenakan biji kopi yang digabungkan dengan pelbagai perasa, lalu menikmatinya secara perlahan atau sikit-sikit.

Malah ada yang menjadikan secawan latte sebagai 'peneman' kerja bagi mengekalkan tenaga.

Meskipun cara minum tersebut menampakkan anda bergaya estetik dan sofistikated, namun hakikatnya ia menjadi 'pembunuh senyap' dalam darah.

Berkongsi pengalaman, seorang pengguna Thread @ynamazlina berkata, tabiat itu membuatkan bacaan HbA1C iaitu ujian untuk mengukur tahap gula dalam darah, meningkat.

Keputusan ujian yang mengejutkan itu membuatkan dia menukar cara minum dan mengurangkan pengambilan air manis.

Jika anda jenis 'bercinta' dengan secawan latte dari pagi sampai ke petang, ini perkara yang anda perlu tahu.

1. Pankreas sentiasa bekerja 

Apabila anda menyedut air manis sikit demi sikit sepanjang hari, paras insulin dalam badan akan sentiasa tinggi. 

Bayangkan pankreas anda terpaksa bekerja keras tanpa henti dari pagi sampai petang tanpa ada waktu rehat langsung.

Ini yang membawa kepada masalah rintangan insulin (insulin resistance).

Amalan gaya hidup sihat penting dalam kesihatan tubuh badan. -Gambar hiasan AI

Amalan gaya hidup sihat penting dalam kesihatan tubuh. -Gambar hiasan AI

2. Rahsia baseline insulin

Situasi berbeza jika anda menghabiskannya dalam masa singkat, contohnya dalam tempoh dua jam.

Apabila air manis habis awal, insulin ada peluang untuk turun semula ke paras asal (baseline). 

Pada masa inilah badan anda ada ruang untuk berehat dan pulihkan semula sensitiviti insulin.

3. Kaitannya dengan HbA1c

Bagi yang masih yang belum tahu, HbA1c adalah ukuran purata kepekatan gula dalam darah bagi tempoh tiga bulan. 

Tabiat pengambilan gula sikit-sikit sepanjang hari akan menyebabkan paras gula dalam darah sentiasa tinggi daripada biasa.

Oleh itu, peluang gula untuk 'melekat' pada sel darah merah semakin tinggi seterusnya menyebabkan bacaan HbA1c mencanak naik.

4. Strategi 'sekali harung'

Sebagai manusia, kadang kala kita pasti akan rasa teringin untuk menikmati air manis. 

Apabila anda mengimpikan air manis, cubalah teguk sikit-sikit dalam tempoh yang singkat seperti ketika makan tengah hari.

Kemudian, beralih kepada air kosong untuk baki hari tersebut.

5. Beri peluang badan 'bernafas'

Kaedah menikmati minuman manis secara sekali harung akan turut membantu metabolisme badan anda kembali stabil dengan lebih cepat. 

Jangan biarkan sel darah merah 'berendam' dalam gula sepanjang hari, ya!

Artikel Lain