AKTIVITI berenang sememangnya menjadi pilihan utama masyarakat untuk mengisi masa lapang, sama ada bersama keluarga mahupun rakan-rakan.Selain menyeronokkan, berenang juga diakui mampu memberi manfaat kesihatan seperti menguatkan otot, meningkatkan stamina serta mengurangkan tekanan selepas seharian bekerja. Namun bagi sesetengah wanita, keterujaan menikmati aktiviti air sering terbantut apabila tiba tempoh haid.Malah ada juga yang beranggapan bahawa mereka yang sedang 'period' tidak boleh mandi kolam kerana isu kebersihan dan kesihatan seperti yang disuarakan seorang pengguna Thread ini."Jangan normalisasikan mandi kolam semasa haid, bukan isu malu tapi hygiene. Kesihatan dan consideration untuk orang lain," ujar seorang lelaki secara ringkas di media sosial.Bagaimanapun, pandangannya disanggah oleh seorang wanita yang merupakan jurulatih renang bertauliah.Dia turut menegaskan golongan wanita yang sedang menstruasi boleh menggunakan pelbagai produk haid untuk mengelakkan 'kebocoran' darah seperti tampon."Kita ada produk seperti tampon. Secara umumnya, pendarahan juga tidak akan berlaku ketika berada di dalam air disebabkan perbezaan tekanan."Pandangan ini daripada seorang ibu kepada tiga anak yang sudah lama melalui fasa haid. Saya juga berpengalaman sebagai jurulatih renang bertauliah, jurulatih skuba selama lapan tahun serta penyelam skuba lebih 15 tahun," jelasnya sambil berkongsi identiti diri.Kenyataannya itu turut disokong oleh pegawai perubatan daripada Klinik Hijrah Chendering yang menyatakan tekanan air menghalang darah haid daripada mengalir keluar daripada badan wanita."Anggapan waktu period tak boleh berenang adalah mitos. Wanita boleh berenang walaupun semasa period kerana tekanan pada air adalah lebih tinggi berbanding badan kita."Jadi period tidak akan keluar, cuma, janganlah berendam semasa pad tengah penuh," jelas beliau yang turut menyarankan supaya pad ditukar terlebih dahulu sebelum seseorang itu melakukan aktiviti air.