suria

Anak tanya tentang seks, mak ayah jangan terus 'sembur'! Ini cara ‘pro’ jawab soalan sensitif

Anak-anak perlu diajar dengan perkataan sesuai dalam pendedahan ilmu seksual. -Gambar hiasan AI

SETIAP ibu bapa pasti akan berasa panik apabila tiba-tiba mendapat soalan 'KBAT' daripada anak-anak yang masih kecil.

Lebih menambah sakit kepala apabila soalan yang diajukan adalah tabu dan sensitif untuk dibincangkan secara terbuka dalam kalangan masyarakat.

Namun, sebagai ibu bapa anda perlulah memberi penerangan jelas terutama sekali apabila ia melibatkan tentang bahagian intim dan seksualiti.

Paling penting, anda jangan cepat melenting atau memberi 'ceramah percuma', kerana ia akan membuatkan anak hilang kepercayaan untuk mendapatkan maklumat daripada anda.

Ini beberapa cara yang boleh anda lakukan apabila mendapat soalan 'maut' seperti perkongsian pakar motivasi Akhi Fairuz Al-Jengkawi di media sosial.

1. Jangan panik tetapi dapatkan kepastian dari mana dia mendengar perkataan tersebut

Apabila anak bertanya mama, apa itu bersetubuh?, anda sepatutnya menarik nafas dalam-dalam dulu dan tidak terus melenting atau 'sembur' anak.

Anda sepatutnya tanya dia mana kakak dengar perkataan ni? kerana budak sekolah rendah masa kini telah didedahkan dengan topik berkaitan dalam subjek Pendidikan Islam (topik mandi wajib atau baligh). 

Semestinya, perkataan tersebut diperoleh daripada guru di sekolah dan anak-anak ingin memahami dengan lebih jelas daripada anda.

2. Gunakan nama saintifik yang betul

Pertanyaan tersebut membuktikan anak sudah bersedia untuk mengetahui lebih lanjut, oleh itu berhenti menggunakan nama samaran seperti 'burung' atau 'bunga' bagi menggambarkan alat sulit.

Ajar anak dengan nama sebenar bagi kemaluan iaitu zakar atau penis untuk lelaki manakala faraj atau vagina untuk perempuan. 

Apabila kita guna istilah betul, anak akan faham itu adalah anatomi badan yang perlu dihormati dan bukan bahan jenaka.

Mereka juga tidak akan berasa malu untuk menyebutnya jika ingin mengadu atau menceritakan insiden yang berlaku suatu hari nanti.

Pendidikan seksualiti dan anatomi manusia sudah diajar di peringkat sekolah rendah. -Gambar hiasan AI

Pendidikan seksualiti dan anatomi manusia sudah diajar di peringkat sekolah rendah. -Gambar hiasan AI

3. Kaitkan dengan alam semulajadi

Perkara yang sensitif dan tidak dibincangkan secara terbuka ini boleh dijelaskan dengan mudah jika anda melibatkan alam semulajadi.

Sebagai contoh, apabila anda ingin menerangkan proses pembiakan, gunakan analogi mudah seperti tumbuhan, membiak melalui biji benih.

Haiwan seperti kucing dan lembu membiak melalui proses mengawan.

Bagi manusia pula, persenyawaan melalui hubungan intim antara lelaki dan perempuan kerana ayah ada 'benih' (sperma) dan ibu ada 'telur' (ovum). 

Apabila kedua-duanya bertemu melalui hubungan intim dalam perkahwinan, barulah wujudnya bayi. 

4. Tekankan isu halal dan haram

Pada masa sama, jelaskan bahawa hubungan intim antara lelaki dan perempuan hanya boleh dibuat selepas berkahwin. 

Nyatakan juga bahawa hubungan yang berlaku sebelum perkahwinan adalah zina dan dikategorikan sebagai dosa besar yang membawa banyak masalah sosial seperti kes buang bayi.

5. Sentuhan selamat dan tidak selamat

Teruskan penerangan anda mengenai sentuhan selamat dan tidak selamat pada private parts.

Masa inilah anda boleh menitipkan pesanan bahawa mulut, dada, punggung dan kemaluan adalah bahagian sulit yang tidak boleh disentuh oleh sesiapa walaupun ahli keluarga sendiri atau orang yang dikenali.

Minta mereka laporkan pada anda sekiranya perkara tersebut berlaku.

Cara ini boleh membantu mengelakkan anak anda menjadi mangsa rogol mahupun gangguan seksual.

Artikel Lain