suria

Ibu minta anak perempuan tarik laporan dirogol bapa tiri, mahu bina hidup bahagia

Mangsa rogol mengalami trauma sepanjang hayat terutama sekali membabitkan individu dikenali. -Gambar hiasan

SEORANG ibu didakwa di mahkamah pada Rabu selepas dipercayai mengarahkan anak perempuannya menarik balik tuduhan kes rogol terhadap bapa tirinya, bagi membolehkan mereka kembali hidup sebagai keluarga bahagia.

Wanita berusia 34 tahun berkenaan berdepan tiga pertuduhan kerana melakukan perbuatan yang boleh mengganggu proses keadilan.

Bagaimanapun identiti wanita dan lelaki terbabit tidak didedahkan susulan perintah larangan mahkamah bagi melindungi identiti mangsa.

Berdasarkan dokumen mahkamah, pada 23 Jun 2022, wanita itu didakwa menyuruh anaknya memaklumkan kepada polis bahawa kenyataan yang diberikan terhadap lelaki terbabit adalah palsu, ketika suaminya sedang disiasat atas kes rogol.

Keesokan harinya, wanita itu menyampaikan arahan suaminya kepada remaja tersebut termasuk memintanya memberitahu timbalan pendakwa raya bahawa dia mahu menarik balik kes serta mengakui memberi kenyataan palsu kepada polis.

Selain itu, wanita terbabit didakwa berjanji akan memenuhi apa sahaja permintaan anaknya jika remaja berkenaan bersetuju berbuat demikian.

Kejadian dilapor berlaku di Singapura.

Pada awal 2023, wanita itu turut didakwa memaklumkan anaknya bahawa jika kes tersebut ditarik balik dan remaja berkenaan hanya perlu tinggal di rumah perlindungan perempuan selama kira-kira dua tahun.

Dia juga didakwa memberitahu bahawa lelaki terbabit berdepan hukuman penjara sekitar 20 hingga 30 tahun sekiranya kes diteruskan, manakala tempoh tinggal anaknya di rumah perlindungan jauh lebih singkat.

Wanita itu turut didakwa menyatakan mereka boleh bersatu semula sebagai sebuah keluarga bahagia selepas anaknya keluar dari rumah perlindungan.

Kes berkenaan dijadualkan untuk persidangan praperbicaraan pada 11 Mac depan.

Jika sabit kesalahan, setiap pertuduhan boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. -Agensi

Artikel Lain