PERGELANGAN tangan kanan seorang anggota polis yang terputus selepas diserang lelaki bersenjatakan parang berjaya disambung semula dalam pembedahan selama kira-kira lapan jam. Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), pembedahan itu bermula pada pukul 10 malam dan diketuai dua pakar anggota atas dan mikrosurgeri Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Allan Ravi Rajagopal serta Dr Aziz Sabbir Husain, dengan bantuan pasukan unit berkenaan.Anggota Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu pada mulanya dibawa ke Hospital Selayang sebelum dirujuk ke HKL untuk mendapatkan rawatan pakar.Selepas menjalani pemeriksaan dan penilaian, mangsa segera dibawa ke dewan bedah utama untuk menjalani pembedahan penyambungan semula tangan.KKM berkata, pasukan pakar menggunakan kaedah mikroskop pembedahan untuk menyambung semula salur darah dan saraf yang cedera serta membaiki struktur tangan yang terjejas.Dalam tempoh sama, pasukan bedah saraf turut menjalankan prosedur membersihkan luka di kepala mangsa. ARTIKEL BERKAITAN: Anggota polis putus tangan, parah diserang lelaki warga asing mengamuk bersenjata parang"Kami berharap agar pesakit menunjukkan perkembangan pemulihan yang baik dan seterusnya mencapai tahap pemulihan fungsi tangan yang seoptimum mungkin," menurut kenyataan KKM pada Khamis.Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menzahirkan ucapan penghargaan kepada pasukan pakar bedah, doktor, jururawat dan seluruh petugas kesihatan HKL yang terlibat dalam pembedahan kecemasan berkenaan."Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas perkhabaran gembira mengenai kejayaan pembedahan penyambungan semula tangan (hand replantation) Lans Koperal Thierry Rodger Anak Fendy di HKL."Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan syabas kepada pasukan pakar bedah, doktor, jururawat dan seluruh petugas kesihatan HKL yang terlibat."Penghargaan khusus buat pasukan Pakar Subkepakaran Anggota Atas dan Mikrosurgeri yang diketuai oleh Dr. Allan Ravi Rajagopal dan Dr. Aziz Sabbir Husain atas kejayaan menyempurnakan prosedur lapan jam yang menuntut ketelitian tahap tinggi menggunakan mikroskop pembedahan ini," katanya.Pada Rabu, anggota polis itu diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang ketika sedang bertugas di sebuah premis kediaman di sekitar Desa Aman Puri, Kepong, kira-kira pukul 7 malam.Berdasarkan rakaman tular, suspek dipercayai bertindak meluru ke arah mangsa dengan menghayunkan parang sehingga menyebabkan kecederaan serius.