suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Anak Muammar Gaddafi ditembak mati dalam rumah

Saif ditembak mati dalam rumahnya sendiri oleh empat komando. -Foto Reuters

ANAK kepada bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi iaitu Saif al-Islam dilaporkan terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu kediamannya di Zintan, barat Libya.

Perkara itu disahkan peguamnya, Marcel Ceccaldi.

"Dia (Saif) dibunuh pada pukul 2 petang (1200 GMT) di rumahnya di Zintan oleh empat lelaki komando," katanya.

Empat lelaki tidak dikenali itu menyerbu masuk, mematikan kamera keselamatan sebelum melepaskan tembakan yang meragut nyawanya.

Bagaimanapun, sehingga kini tidak dapat dipastikan pihak yang bertanggungjawab di sebalik serangan tersebut.

Saif, 53, dianggap antara individu paling berpengaruh di Libya selepas bapanya yang memerintah negara itu dari tahun 1969 sehingga digulingkan dan dibunuh dalam kebangkitan rakyat pada 2011.

Selepas kejatuhan rejim bapanya, Saif ditahan kumpulan bersenjata saingan di Zintan dan dipenjarakan hampir enam tahun susulan tuduhan terlibat dalam penindasan keras terhadap protes anti-kerajaan.

Walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam kerajaan, Saif dikatakan berpengaruh dalam membentuk dasar serta mengetuai rundingan penting ketika era pemerintahan bapanya.

Saif sebelum ini pernah menafikan hasrat mewarisi kuasa daripada Muammar Gaddafi dengan menyatakan tampuk pemerintahan bukan sesuatu yang boleh diwarisi.

Namun pada tahun 2021, Saif mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan presiden Libya sebelum pilihan raya itu ditangguhkan tanpa tarikh baharu.

Sementara itu, jurucakap terakhir Muammar Gaddafi, Moussa Ibrahim, mendakwa Saif dibunuh secara khianat (terancang) dan berkata dia mahukan Libya yang bersatu, berdaulat serta selamat untuk semua rakyat.

Artikel Lain