suria

“Saya bantu kerana mampu, bukan menunggang kisah sesiapa” - Nur Nilam Ortiz

Nilam mahu ringankan beban mereka memerlukan.

PELAKON dan usahawan Nur Nilam Ortiz menegaskan segala bentuk bantuan terhadap beberapa selebriti tempatan yang berdepan masalah bukan berniat untuk menunggang atau mencari publisiti.

Nilam berkata, tiada sebarang agenda tersembunyi, sebaliknya hanya ingin meringankan beban dan membantu mana-mana selebriti mahupun individu biasa yang memerlukan pertolongan.

“Saya membantu kerana saya mampu. Bukan kerana nama, status atau apa yang boleh saya peroleh daripada sesiapa.

Nilam membantu bukan kerana mahu perhatian.

“Saya tidak memilih lingkaran pergaulan berdasarkan nama besar. Saya selesa dengan hubungan yang jujur dan tidak bersyarat,"katanya.

Sebelum ini, Nilam tampil membantu usahawan Datuk Seri Adnan Abu Bakar atau Datuk Red dengan melunaskan tunggakan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia bagi membolehkannya menunaikan umrah tahun lalu.

Malah Nilam juga secara terbuka memberitahu kesediaannya untuk menanggung kos guaman aktres Puteri Balqis sekiranya berdepan tindakan saman.

ARTIKEL BERKAITAN: Azlan Komeng, Nilam Ortiz dah dapat anak sulung... Ada sebab rahsiakan kehamilan

ARTIKEL BERKAITAN: Baiknya hati Nur Nilam, diam-diam bantu bayar tunggakan sekatan Datuk Red tunai umrah

Bukan hanya itu, Nilam juga dalam diam menggerakkan misi mencari pelakon Nadia Kesuma yang dilaporkan hilang sebelum dimaklumkan meninggal dunia di sebuah hospital di Jeddah, Arab Saudi pada 15 Januari lalu.

Perkara itu dikongsikan seorang pempengaruh dikenali Jalil Razak yang kebetulan berada di negara itu.

“Puan Nilam seorang yang tidak sanggup melihat orang lain dalam kesusahan. Banyak kebajikan yang dia lakukan tanpa pengetahuan umum. Tuduhan dia menunggang isu viral adalah tidak berasas,” katanya.

Nilam sentiasa bersedia bantu mereka yang memerlukan.

Untuk rekod, Nur Nilam Ortiz bukan sekadar usahawan produk, malah memiliki rangkaian perniagaan merangkumi sektor telekomunikasi, resort, serta spa kecantikan.

Latar belakang akademiknya dalam bidang undang-undang turut menyaksikan dia memiliki firma guaman sendiri yang aktif menawarkan bantuan guaman pro bono kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain