JARANG berkongsi tentang kelahiran anaknya, isteri kepada pelakon Azlan Komen memberitahu dia kini lebih berhati-hati kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku.
Kata Nur Nilam Ortiz, pengalaman mengalami keguguran sebelum ini juga menjadi sebab dia merahsiakan kehamilannya.
Bahkan tidak ramai yang tahu dia kini sudah memiliki cahaya mata yang hanya mahu dikenali sebagai KJ.

Nilam hanya berkongsi nama bayinya yang dikenali sebagai KJ
“Ramai tertanya-tanya sejak bila saya hamil... sedar-sedar saya sudah mempunyai bayi.
"Saya sengaja merahsiakan kehamilan untuk mengelakkan perkara tidak diingini. Saya pernah melalui keguguran sebelumnya.
"Jadi saya memilih untuk memberi fokus kepada perniagaan dan kemelut rumah tangga tanpa perhatian umum,” katanya.
Nilam berkongsi perkara tersebut dalam sesi siaran langsung di TikTok ketika menemani anaknya yang kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital.
ARTIKEL BERKAITAN: Azlan Komeng dan isteri dapat perintah injunksi terhadap Cik Pia, halang sebarang kenyataan fitnah
ARTIKEL BERKAITAN: Isteri Azlan Komeng hamil anak lelaki, bertahan demi zuriat
Tidak mendedahkan sakit sebenar bayi tersebut, Nilam juga memberitahu tekanan yang dialami ketika hamil turut memberi kesan kepada anaknya itu.
“Saya bukan sahaja perlu menjaga kandungan, tetapi juga diri sendiri. Namun dalam keadaan penuh tekanan, ia sedikit sebanyak menjejaskan kesihatan bayi dalam kandungan.
"Kesan itu mungkin menjadi antara punca keadaan anak saya sekarang,” ujarnya.
Tambah Nilam dia juga berharap perkongsian itu dapat meleraikan segala salah faham dalam kalangan pengikut di media sosial.

Anak Nilam kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital.
Malah dia turut mendoakan anaknya itu akan segera sembuh.
“Saya mohon doa semua agar KJ segera sembuh. Sebagai seorang ibu, saya hanya mahu memberi sepenuh perhatian kepada anak kedua saya ini, tanpa terheret lagi dalam masalah yang tidak membawa kebaikan,” luahnya.
Sebelum ini, Nilam dan Azlan pernah kehilangan anak dalam kandungan.
Selain KJ, Nilam juga memiliki seorang anak lelaki berusia tujuh tahun daripada perkahwinan terdahulu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


