PELAWAK Atu Zero meluahkan rasa kecewa terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang wakil rakyat berkaitan pemberian roti buat penduduk di Sabah sebagai cara mudah untuk memancing undi.
Bagi Atu nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif, 32, kenyataan tersebut tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin dan pihak berkenaan harus lebih berhati-hati dalam memilih kata-kata.
"Ada satu individu, Yang Berhormat (YB) mana entah, video dia cakap fasal bagi roti pada orang Sabah tu viral.

Atu sentiasa bawa pulang roti pulang ke kampung.
"Saya rasa tak baguslah kenyataan begitu, roti itu tiada kaitan pun, malah saya dan isteri setiap tahun balik Sabah akan bawa roti untuk diagihkan kepada kanak-kanak di kampung," katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat.
Dia berkongsi perkara tersebut selepas tular kenyataan pemimpin berkenaan dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang berseloroh memberitahu “Orang Sabah tu kempen dia bagi roti Gardenia ja".
Menurut Atu yang juga berasal dari Sabah, kata-kata sebegitu boleh menimbulkan rasa kurang senang atau mungkin mengguris hati masyarakat Negeri Di Bawah Bayu itu.
"Tapi bila ada orang dewasa yang mengatakan benda yang tidak sepatutnya, hati saya agak terguris dengan kenyataan yang tidak sepatutnya keluar dari mulut bijak pandai.
ARTIKEL BERKAITAN: Kes dadah libat pelawak jejaskan industri, Atu Zero nasihat jangan terjebak ‘sedap’ hanya sementara
ARTIKEL BERKAITAN: Atu tak dendam Sharif buka aib, berbalas kenyataan di media sosial bagi nampak ‘gempak’
"Saya boleh maafkan kamu, tapi bagaimana dengan saudara-saudara lain yang masih terasa dengan kenyataan sedemikian," ujarnya.
Atu dalam masa sama juga memberitahu dia sering berkongsi rezeki dengan saudara-mara di sana dengan membawa bekalan roti yan banyak setiap kali pulang ke kampung halaman.
Dia turut memuat naik video kemeriahan jiran terdekat yang datang ke rumahnya untuk mendapatkan bekalan roti.
"Alhamdulillah, hampir setiap tahun saya dengan isteri akan bawa balik roti Gardenia untuk diagihkan kepada kanak-kanak di kampung. Malah, orang dewasa pun ada yang suka dengan roti ni. Niat kami mahu berkongsi rezeki.

Atu dan isteri suka berkongsi rezeki dengan orang sekeliling.
"Selalunya anggaran dalam tiga beg luggage saiz besar saya akan penuhkan dengan roti bawa balik kampung setiap tahun. Rutin tahunan ini saya memang buat sejak jadi artis, iaitu selepas Raja Lawak musim keenam," jelasnya.
Untuk info, roti Gardenia sukar didapati di Sabah kerana masalah logistik dan jarak penghantaran yang jauh dari kilang utama di Semenanjung Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Atu merupakan salah seorang pengacara bagi program Borak Onsoi yang akan disiarkan di TV1 dan RTMKlik bermula 15 hingga 28 November 2025, pada jam 2.30 petang.
Selain Atu, program ini akan turut dikendalikan oleh pengacara-pengacara lain seperti Enn Xaviera, Edith Joseph, dan Alvin MY.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


