APLIKASI MYTV Mana Mana memperkenalkan siri original pertama di bawah jenama MYTV Originals berjudul BF Green Flag yang ditayangkan sebanyak 20 episod berdurasi 7 minit bagi setiap siaran.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MYTV, Syaffandi Shahrom, penerbitan drama pendek itu sejajar dengan trend semasa di mana penonton lebih gemar menikmati kandungan yang padat, ringan dan tidak memerlukan masa tontonan panjang.
"Kalau kita lihat pasaran sekarang makin banyak terbitan kandungan pendek berdurasi tiga ke empat minit untuk satu episod.

Syaffandi (kiri) dan barisan pelakon ketika sidang media BF Green Flag.
"Penonton juga tidak perlu menunggu masa yang panjang untuk menonton sebuah drama dan disebabkan itulah kami mengikuti trend drama pendek seperti ini," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MYTV, Mohamad Helmi Harith berkata, pelancaran MYTV Originals merupakan langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem kreatif tempatan dan memperluas peranan MYTV sebagai platform kandungan digital.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Do Drama’ ketengah format drama pendek, lancar 8 siri original berbahasa Melayu
ARTIKEL BERKAITAN: Syazwan Razak muak sering dibandingkan dengan Syafiq Kyle, mahu bina nama sendiri
"Sudah tiba masanya MYTV bukan saja menjadi platform penyiaran tetapi juga pemangkin kepada kebangkitan kandungan tempatan lebih segar, autentik dan relevan dengan penonton masa kini.
"Melalui BF Green Flag sebagai siri original pertama, kami ingin memberi pengalaman berbeza kepada penonton dengan menikmati karya berkualiti tinggi selain memperkukuh daya saing kandungan Malaysia di peringkat digital," ujarnya.
BF Green Flag mengisahkan tentang Adella (lakonan Athalia) yang menutup pintu hatinya untuk bercinta lagi selepas dikhianati dalam hubungan toksik.
Namun, takdir menemukan dia dengan Alfa (lakonan Syazwan Razak), jejaka yang diperkenalkan oleh ibu saudaranya.

Barisan pelakon siri BF Green Flag.
BF Green Flag juga menyingkap perjalanan Adella mencari keberanian untuk mencintai semula bersama lelaki yang benar-benar 'green flag'.
Diterbitkan oleh Astra Entertainment, drama itu mempertaruhkan gandingan kali pertama Syazwan Razak dan Athalia sebagai teraju utama, disokong oleh barisan pelakon hebat seperti Azhan Rani, Dafi, Uchee Fukada, Iman Suhana dan Dottie Syuhada.
Siri drama ini boleh ditonton bermula 13 November ini pada setiap Khamis pukul 12 tengah hari secara eksklusif di MYTV Mana Mana.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


