PENDAKWAH selebriti Ustazah Asma' Harun tampil memberi teguran secara terbuka tentang penampilan dan gaya persembahan kumpulan Dolla seperti yang dipamerkan dalam muzik video (MV) lagu terbaharu mereka berjudul Question.
Asma' dalam satu kenyataan mempersoalkan hala tuju yang dibawa oleh kumpulan wanita itu yang disifatkan tidak selari dengan nilai budaya masyarakat Malaysia.
“Dolla, inikah yang kita banggakan sebagai wajah seni hiburan negara kita? Dolla, tolonglah berubah.

Teguran dan luahan Asma' di Instagram miliknya.
“Makin lama makin parah, makin terbuka sana sini, makin ghairah, makin memalukan. Apa yang dipertontonkan bukan lagi satu seni hiburan.
"Ia sudah sampai tahap pertunjukan dalam laman gelap atau kelab, tetapi secara terang-terangan atas nama seni. Pakaian ketat melekat, singkat terbuka melampau, gerakan mengiurkan, semuanya dipakejkan sebagai satu seni lagu,” katanya.
Asma meluahkan pendapatnya itu menerusi hantaran di Instagram miliknya pada pagi Jumaat.
Tidak hanya itu, dia juga meluahkan rasa terkilan apabila salah seorang anggota kumpulan berkenaan merupakan wanita Islam.
ARTIKEL BERKAITAN: Tabby Dolla kuruskan badan demi konsert
ARTIKEL BERKAITAN: Dolla tampil buat persembahan bersama bintang Thailand, Sherry Alhadad dan Alif Satar hos malam kemuncak AIM24
Malah baginya tidak wajar peminat memberikan sokongan terhadap satu yang memalukan.
"Paling menyedihkan, salah seorang anggotanya adalah wanita Islam, dan walau yang bukan islam sekalipun, anda tetap bawa imej Negara Malaysia yang berpegang pada Rukun Negara ke-5.
“Seni apa yang dibina di atas aksi memalukan begini? Kemajuan apa yang dibina di atas dosa? Kemodenan apa yang dibina di atas runtuhnya rasa malu?
“Bagi saya, videonya amat tidak bermoral, memalukan wanita Islam, memalukan negara yang namanya Malaysia, negara Islam. Lebih perit… ada orang yang mempertahankan dengan pujian dan rasa bangga," jelasnya.

MV Question daripada Dolla menerima teguran daripada Asma'.
Sementara itu, Asma’ mengingatkan masyarakat tentang bahaya apabila kandungan tidak bermoral mula diterima sebagai satu norma.
Menurutnya, perubahan persepsi masyarakat terhadap perkara yang dilarang boleh membawa kepada keruntuhan nilai.
“Inilah bahaya apabila normalisasi maksiat mula dianggap trend. Apa yang salah dianggap biasa. Apa yang haram dianggap ‘tak apa’. Apa yang menjolok mata dianggap ‘artistic’,” ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


