EMPAT sekeluarga maut selepas kereta yang dinaiki mereka dihempap sebuah treler yang terbabas dalam kemalangan di Kilometer 43.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), arah timur, pada Ahad.Kemalangan ngeri yang berlaku kira-kira pukul 4.25 petang itu melibatkan seorang lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan. Kesemua mereka yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian merupakan pemandu dan penumpang kereta jenis Honda City.Manakala pemandu treler berkenaan disahkan mengalami kecederaan parah.Berdasarkan maklumat awal daripada pihak unit media syarikat konsesi Kumpulan AFA, kemalangan tersebut melibatkan sebuah treler yang membawa muatan besi buruk dan sebuah kereta jenis Honda City."Treler terbabit dipercayai terbabas sebelum menghempap kereta berkenaan yang berada di lorong perlahan."Akibat impak kuat, kedua-dua kenderaan terbabit kemudian terhenti di lorong kecemasan."Empat mangsa yang berada di dalam kereta itu disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans dari Bentong," jelasnya dalam kenyataan pada Khamis.Tambahnya, susulan kejadian itu, lorong perlahan dan lorong kecemasan di lokasi terlibat ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja menyelamat serta pengalihan muatan besi buruk yang bertaburan dijalankan. "Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kemalangan," jelasnya.