suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Dua pasang suami isteri ditahan, bantu siasatan penularan video pukul pembantu rumah Indonesia 

Tangkap layar memperlihatkan seorang lelaki memukul pembantu rumah warga Indonesia.

DUA pasang suami isteri ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam kes memukul pembantu rumah warga Indonesia di kediaman mereka di Taman Johor, Skudai.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 34 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7.30 malam, Sabtu.

Menurut Ab Rahaman, kes tersebut terbongkar selepas rakaman video memaparkan kejadian itu tular di media sosial.

"Hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 26 Julai tahun lalu dan setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan," katanya pada sidang media pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa dipercayai merakam sendiri kejadian berkenaan secara rahsia sebelum video tersebut dimuat naik ke media sosial.

Tambahnya, empat suspek yang ditahan terdiri daripada dua pasangan suami isteri yang tinggal serumah, manakala kedua-dua wanita terbabit merupakan adik-beradik.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak puas hati anak dipukul, polis siasat kes majikan ‘belasah’ pembantu rumah

Polis turut percaya terdapat dua lagi pembantu rumah warga Indonesia yang menjadi mangsa penderaan serupa dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan mereka.

Dalam serbuan tersebut, polis merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dipercayai dipakai suspek dalam video tular, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta dua pasport Indonesia.

Semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing menunjukkan mereka negatif dadah.

Sebelum ini, satu rakaman video yang memaparkan seorang pembantu rumah ditampar dan ditumbuk bertubi-tubi oleh sorang lelaki yang dipercayai majikannya tular di media sosial. 

Difahamkan, perbuatan tersebut dilakukan kerana mangsa didakwa memukul anak majikannya.

Selain itu, turut kedengaran suara beberapa individu yang bergilir-gilir meninggikan suara dan memaki mangsa. 

Keempat-empat suspek direman selama sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 354 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport.

Artikel Lain