suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Minggu Perpaduan Negara di Sabah meriah, siap ada pertandingan ratu dan ‘battle of the bands' - “Bah tunggu apa lagi, kasi ramai la!”

Antara pameran budaya dan warisan etnik yang menjadi tarikan di Minggu Perpaduan.

GABUNGAN warna-warni budaya, makanan tradisional, kraftangan etnik, pameran serta pelbagai aktiviti menarik menceriakan suasana di Kompleks Sukan Likas di Kota Kinabalu sempena penganjuran Minggu Perpaduan yang sedang berlangsung sehingga Ahad ini.

Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara itu bukan sahaja menawarkan hiburan kepada pengunjung, malah membuka peluang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian budaya dan warisan rakyat Malaysia yang jarang ditemui di Sabah.

Pelbagai tarikan disediakan sepanjang program berlangsung termasuk pameran Institusi Diraja, pasukan keselamatan, rumah dan kampung etnik, pertandingan memasak, cabaran makan butod (ulat sagu), demonstrasi kraftangan, sukan tradisional, cabutan bertuah, sudut kreatif serta perkhidmatan bergerak daripada pelbagai agensi kerajaan.

Guru Tabika Perpaduan Papar, Roziawati Santari, Norvirawanti Ahmad dan Sahdiah Aliuddin antara yang tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti di ruang pameran tersebut.

Mereka berpeluang menghias salah satu tarikan iaitu Rumah India, dengan kolam berwarna-warni, melukis pasu, merasai pengalaman disiram air mawar, bermain catur serta menyertai pelbagai aktiviti interaktif lain.

Menurut Norvirawanti, pengalaman itu memberi peluang kepada mereka memahami budaya masyarakat lain dengan lebih mendalam.

Pengunjung berpeluang menghias salah satu tarikan iaitu Rumah India.

"Ini sangat menarik kerana komuniti India di Sabah agak kecil. Apabila kita belajar dan merasai budaya lain, kita dapat memahami antara satu sama lain dengan lebih baik. Ia penting untuk mewujudkan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia," katanya.

Sementara itu, seorang ibu yang hadir bersama dua anak lelakinya berkata, program seperti itu sangat bermanfaat dalam menerap dan mendidik anak-anak mengenai kepelbagaian budaya sejak usia muda.

Menurut wanita berusia 35 tahun itu, walaupun kanak-kanak mungkin tertarik dengan makanan dan permainan yang disediakan, aktiviti interaktif disediakan sebenarnya memberi nilai pembelajaran yang tinggi.

"Mungkin bagi kanak-kanak, mereka teruja kerana ada makanan dan permainan tetapi dalam masa sama sebenarnya program ini dapat mengembangkan minda dan memberi pendedahan mengenai kepelbagaian komuniti di negara ini yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama," ujarnya.

Kraftangan etnik tarik perhatian pengunjung

Di kawasan jualan pameran pula, pelbagai produk tempatan dipasarkan kepada pengunjung termasuk makanan, perkhidmatan dan hasil kraftangan berasaskan warisan etnik.

Pembuat kraftangan dari Kampung Inukiran terletak di daerah Matunggong, Kudat, Inung Tabal, 58, pula tidak menang tangan melayan pengunjung yang tertarik dan kagum melihat aksesori manik tradisional masyarakat Rungus seperti saring dan torot.

Menurut Inung, aksesori tradisional tersebut pada asalnya diperbuat daripada tembaga dan logam.

Aksesori manik tradisional yang dihasilkan pengusaha kraftangan tempatan.

"Namun kini ia banyak dihasilkan menggunakan manik kerana lebih ringan dan mampu milik," terangnya.

Tambahnya, platform seperti Minggu Perpaduan sangat membantu pengusaha kraftangan tempatan memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat yang lebih luas.

Turut mencuri perhatian ialah usahawan beg tangan etnik dari Penampang, Mellisa Lapinjang, 45, yang mempamerkan koleksi beg hasil gabungan tenunan PVC khas, renda dan kain batik dengan sentuhan moden.

Mellisa berkata, perniagaan itu bermula sebagai hobi selepas beliau terpaksa meninggalkan kerjaya pejabat bagi menjaga anak yang sakit kira-kira 13 tahun lalu.

"Hari ini, hobi ini berkembang menjadi sumber rezeki dan membuka peluang kepada ramai pereka termasuk saya.

"Program seperti ini membantu kami memperluaskan pasaran dan memperkenalkan hasil seni tempatan kepada orang ramai," katanya.

Demonstrasi busana tradisional yang turut memberi peluang pengunjung menyelami budaya sesuatu etnik.

Sementara itu, seorang lagi pengusaha dari Matunggong, Jezzra Joffri, 29, turut berkongsi proses menghasilkan lanyard manik serta pelbagai aksesori dan beg berasaskan fabrik tenunan tradisional kepada pengunjung.

Minggu Perpaduan Negara dianjurkan dengan matlamat memperkukuh perpaduan, persefahaman serta rasa hormat antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Pengunjung berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan dan aktiviti menarik seperti tarian singa, bengkel membuat layang-layang, ceramah, e-sukan, konsert dan festival muzik Battle of the Bands.

Tidak ketinggalan pertandingan Ratu Perpaduan, Jualan Agro Madani, Jualan Rahmah serta pelbagai program pendidikan.

Menghimpunkan pelbagai budaya di satu lokasi, program ini memberi peluang kepada masyarakat untuk menyelami keunikan Malaysia sambil memupuk semangat perpaduan yang menjadi asas keharmonian negara.

 

Artikel Lain