EMPAT wanita berdepan detik cemas selepas dipercayai sesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Tunggul, Dengkil di Selangor pada pagi Ahad.Bagaimanapun, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dalam operasi yang dijalankan oleh pihak bomba dan dibawa keluar dari kawasan berkenaan tanpa mengalami sebarang kecederaan. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.13 pagi.Menurutnya, seramai enam anggota bomba dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa."Siasatan awal mendapati empat pendaki wanita berusia antara 25 hingga lingkungan 40-an dipercayai tersesat ketika melakukan aktiviti pendakian."Bagaimanapun, pihak kami berjaya menghubungi mereka untuk mendapatkan lokasi semasa," katanya ketika dihubungi pada Ahad.Ahmad Mukhlis berkata, kesemua mangsa berjaya ditemui dan dibawa keluar dari kawasan berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi.Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan operasi tamat selepas semua mangsa berada dalam keadaan selamat. -The Star