ANGGOTA kumpulan Dolla, Tabby berjaya menurunkan berat badan sebanyak 5 kilogram dalam tempoh sebulan sebagai persiapan untuk konsert Good Girls Gone Bad yang bakal berlangsung pada 6 Disember ini.
Tabby atau Tabitha Ariel Lam, 25, berkata, perubahan itu hasil daripada disiplin ketat dalam setiap sesi latihan yang dilakukan bersama Dolla.
"Kami semua sudah mulakan latihan untuk konsert yang akan datang. Hampir setiap hari kami menari dan menjalani latihan vokal.

Tabby sentiasa positif tentang berat badan yang dimilikinya.
"Saya memerlukan stamina yang baik untuk mempersiapkan diri menjelang konsert bulan depan.
"Sekarang saya sudah berjaya turun 5 kilogram dalam tempoh kurang sebulan," katanya kepada mStar.
Ditanya mengenai rutin harian yang diamalkan untuk kekal langsing, Tabby berkata, dia cuba mengurangkan pengambilan gula selain mengamalkan diet ketat.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat tahun menunggu akhirnya impian Dolla tercapai, konsert sulung pukau ribuan penonton
ARTIKEL BERKAITAN: Lega nama bersih tanpa kontroversi, Tabby simpati 2 anggota Dolla kena jawab gosip
"Saya jaga makan, kurangkan gula serta lebihkan protein. Saya rasa anda semua pun tahu," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Dolla bakal menghiburkan peminat menerusi konsert Good Girls Gone Bad yang bakal berlangsung pada 6 Disember ini di Idea Live, Petaling Jaya.
Kumpulan itu juga baru sahaja melancarkan single terbaharu berjudul Question, sebuah lagu pop yang menyelami perasaan sebenar tentang pengkhianatan dan patah hati.
Menurut Tabby, lagu ini membawa maksud lebih mendalam iaitu proses menghadapi kesakitan dan kelemahan diri selepas dikecewakan.

Dolla muncul dengan single baharu berjudul Question.
"Lagu ini tentang bagaimana berdepan pasangan curang. Ia tentang membenarkan diri untuk rasa sedih dan jujur dengan emosi sendiri tanpa menyembunyikannya," katanya.
Dolla juga memperlihatkan sisi berbeza menerusi video muzik Question dengan konsep feminin, matang dan lebih emosi.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


