suria

Hafiz Suip imamkan solat jenazah ibu, Ajai terbang ke Sarawak beri penghormatan terakhir

Ramai netizen puji Hafiz sebagai anak soleh.

JENAZAH ibu kepada penyanyi, Hafiz Suip iaitu Allahyarham Halizawati  Salleh, 60, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, Petra Jaya, Sarawak pada pagi Selasa.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.25 malam semalam di Hospital Umum Kuching, akibat komplikasi penyakit kencing manis. 

Namun apa yang mencuri perhatian ramai adalah tindakan Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 35, yang  mengimamkan sendiri solat jenazah ibunya di Masjid Ikhwanul Islam, Taman Sukma, sebelum dikebumikan.

Momen Hafiz bersama kedua-dua ibu bapanya ketika konsert sulungnya di Kuala Lumpur 1 November lalu.

Menerusi hantaran video dikongsi stesen radio Cats FM di TikTok, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak dan menganggap Hafiz sebagai anak yang soleh.

“Hafiz anak yang soleh. Solatkan sendiri jenazah ibunda tercinta. Salam takziah dan Al-Fatihah.

“Beruntung arwah ibunya, kerana anak sendiri menjadi imam solat jenazah.

“Allahu Akbar… Hafiz mengimamkan solat jenazah arwah bondanya. Sabar Hafiz. Semoga arwah bonda ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” tulis netizen.

ARTIKEL BERKAITAN:Ibu Hafiz Suip meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Kaki kiri ibu Hafiz Suip dipotong paras lutut akibat diabetes

Tidak hanya itu, kehadiran komposer Ajai di majlis pengebumian turut menjadi bualan netizen apabila dia sanggup terbang dari Kuala Lumpur ke Kuching semata-mata untuk memberikan penghormatan terakhir.

Netizen turut memuji keakraban hubungan dua figura muzik itu yang disifatkan sebagai sahabat sejati.

“Salute kepada Ajai yang sanggup terbang ke Sarawak demi memberi penghormatan terakhir kepada ibunda Hafiz. Memang terasa semangat persahabatan sejati.

Netizen puji semangat setia kawan Ajai terhadap Hafiz.

“Semangat setia kawan! Ajai hadir ke majlis pengebumian ibu Hafiz. Al-Fatihah buat arwah ibunya.

“Betapa sayangnya Ajai kepada Hafiz. Dia sanggup terbang ke Kuching untuk memberikan sokongan kepada sahabatnya,” kata beberapa pengguna media sosial.

Untuk rekod, Allahyarham Halizawati Salleh sebelum ini menghidap penyakit diabetes kronik hingga menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong sehingga paras lutut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain