suria

Ibu Hafiz Suip meninggal dunia

Hafiz reda dengan pemergian ibunya.

IBU kepada penyanyi, Hafiz Suip iaitu Halizawati Salleh, 60, meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Kuching, Sarawak pada malam Isnin. 

Berita duka itu disahkan Hafiz menerusi hantaran di Facebook miliknya.

“Innalillahiwainnailaihirojiun… Hilangnya doa seorang ibu,” tulisnya ringkas.

Arwah dimasukkan ke hospital sebelum ini kerana penyakit kencing manis.

Sementara itu, menurut sumber rapat penyanyi itu, arwah menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 9.25 malam di Hospital Umum Kuching, Sarawak.

Jelasnya, arwah sudah beberapa hari dimasukkan ke hospital berkenaan akibat penyakit kencing manis.

“Allahyarham dimasukkan ke hospital beberapa hari lalu akibat komplikasi penyakit kencing manis,” jelasnya.

Menerusi perkongsian Hafiz di Facebook, rata-rata netizen mengucapkan takziah dan mendoakan agar Hafiz serta keluarga tabah menghadapi kehilangan besar itu.

ARTIKEL BERKAITAN:[V] Hafiz Suip mahu terus menetap di Kuching, jaga ibu sedang sakit

ARTIKEL BERKAITAN: Kaki kiri ibu Hafiz Suip dipotong paras lutut akibat diabetes

“Innalillahiwainnailaihirojiun. Salam takziah buat Hafiz sekeluarga. 

“Semoga urusan arwah dipermudahkan dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Semoga Hafiz kuat dan reda dengan ujian ini,” tulis netizen.

Ramai netizen mendoakan supaya Hafiz dan keluarga tabah hadapi ujian hidup.

Untuk rekod, Allahyarham Halizawati sebelum ini menghidap penyakit diabetes kronik hingga menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong ke paras lutut.

Hafiz sebelum ini memaklumkan sudah berpindah ke Kuching, Sarawak bagi menjaga kedua ibu bapanya yang uzur.

Katanya, arwah ibunya juga pernah berdepan masalah kesihatan serius dan sering menerima rawatan di Kuching.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain