suria

Nad Zainal tolak berlakon di bawah arahan suami, risau ‘gaduh’ di set hingga terbawa ke rumah

Nad tidak mahu terbawa-bawa perkara di set ke rumah.

PELAKON Nad Zainal mengakui gementar untuk menimba ilmu pengarahan daripada suaminya yang juga aktor dan pengarah, Ungku Ismail Aziz kerana sifat tegas ketika berada di set penggambaran.

Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 35, berkata, dia juga risau tidak dapat memberikan lakonan terbaik sekiranya bekerja di bawah arahan suaminya itu kerana takut berlaku suasana tegang yang boleh menjejaskan hubungan mereka.

Disebabkan itu, Nad memilih untuk mengekalkan batas profesional dan tidak mencampuradukkan urusan kerja dengan kehidupan peribadi.

Nad tak boleh berlakon di bawah arahan suaminya.

“Terus terang, saya agak takut nak menimba ilmu daripada suami sendiri. Dia garang, dan saya rasa saya tak boleh berlakon jika dia yang mengarah.

"Saya risau kalau urusan kerja terbawa-bawa ke rumah. Pernah juga saya beritahu dia kalau berlakon bersama tak apa, tapi kalau dia yang mengarah, mungkin tidak.

"Saya mahu terus menghormati dia sebagai suami dan elakkan daripada pergaduhan yang boleh menjejaskan hubungan kami, lagi-lagi waktu nak balik kerja bersama,” katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN:Dianggap pelakon berwajah awam, Nad Zainal anggap rezeki dapat bawa pelbagai watak

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak perlulah tulis macam ni” - Nad Zainal minta individu jaja kisah rumah tangganya segera bertaubat

Berkongsi lanjut, Nad pernah menyuarakan hasrat untuk belajar selok-belok pengarahan daripada Ungku Ismail, namun niat itu masih belum kesampaian. 

Bagaimanapun, dia tidak mengambil hati sebaliknya Nad melihat masih banyak ruang untuk menimba ilmu dengan pengarah lain.

“Saya pernah minta suami ajar saya cara mengarah, tapi nampaknya dia belum bersedia untuk mengajar saya.

Saya mahu terus menghormati dia sebagai suami.

NAD ZAINAL

PELAKON

"Tak mengapalah, mungkin saya boleh berguru dengan pengarah lain atau mulakan langkah sebagai pembantu pengarah dahulu. Saya memang suka kerja di belakang tabir," ujarnya

Untuk rekod, Nad dan Ungku Ismail mendirikan rumah tangga pada 23 Januari 2023 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ungku Indera Puteh Al Maajid yang kini berusia dua tahun.

Nad bakal tampil dengan drama terbaharu berjudul Bahagia Yang Tertangguh.

Sebelum itu, Nad pernah berkahwin dengan Muhamad Faliq Amirudin pada 18 Disember 2015, namun rumah tangga mereka berakhir dengan perceraian pada tahun 2022.

Hasil perkahwinan tersebut, Nad dikurniakan dua cahaya mata iaitu Fahad Ibrahim, 9, dan Budi Kalsom,4.

Dalam perkembangan lain, Nad bakal muncul dengan drama terbaharu berjudul Bahagia Yang Tertangguh pada 17 November ini.

Selain Nad, pelakon lain yang turut membarisi drama arahan Osman Ali itu ialah Kamal Adli, Izzue Islam dan Rozita Che Wan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain