IBU mentua kepada penyanyi Nubhan iaitu Zailah Zainudin menegaskan dia tidak pernah menuntut RM5 juta sekiranya anaknya diceraikan.
Zailah, 62, menegaskan, dia bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan fitnah dan mencemarkan nama baik keluarganya.
Malah, Zailah yang juga bekas pensyarah meluahkan rasa terkilan apabila nama keluarganya diaibkan menerusi pelbagai tohmahan di media sosial.

Zailah sudah melantik peguam untuk ambil tindakan undang-undang.
“Beberapa hari ini, saya dan keluarga melalui ujian berat apabila pelbagai cerita dan tuduhan disebarkan secara terbuka.
"Sebagai ibu, saya sedih apabila nama saya dan keluarga dibawa ke perhatian umum dengan pelbagai tafsiran yang tidak benar,” katanya.
Zailah berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya pada petang Isnin.
Menurut Zailah, dia juga sudah melantik peguam bagi meneliti setiap kenyataan dan hantaran yang berunsur fitnah serta mengenal pasti langkah undang-undang yang boleh diambil terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu.
ARTIKEL BERKAITAN:[V] Hentikan spekulasi, Nubhan rela salahkan diri sendiri... “Orang luar hanya tahu sedikit sahaja”
ARTIKEL BERKAITAN: Ibu mentua Nubhan didakwa tuntut RM5 juta jika mahu bercerai, siap ‘spill the tea’ kena bahagi harta sama rata
Tambah Zailah, tindakan itu diambil bagi melindungi maruah dirinya serta keluarga terutama ketika mereka sedang melalui ujian peribadi.
“Saya telah melantik peguam, Tetuan Aizat Izuan Shakeel untuk meneliti setiap kenyataan dan hantaran berunsur fitnah.
"Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan maklumat palsu serta mencemarkan nama baik saya dan keluarga,” ujarnya.
Dalam masa sama, Zailah sudah tidak mampu berdiam diri selepas pihak tertentu didakwa sengaja mahu memalukan dan menginjak maruah keluarganya.
Sebagai ibu, saya sedih apabila nama saya dan keluarga dibawa ke perhatian umum dengan pelbagai tafsiran yang tidak benar.
ZAILAH ZAINUDIN
IBU MENTUA NUBHAN
“Saya tidak akan berdiam diri apabila maruah kami dipermainkan. Kepada pihak tertentu yang terus menyebarkan fitnah, saya mohon hentikanlah penyebaran cerita yang tidak pasti kebenarannya.
"Jangan menambah luka dengan andaian atau komen yang hanya berasaskan khabar angin. Cukuplah fitnah dan kata-kata yang menyakitkan,” jelasnya.
Selain itu, Zailah tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan kata-kata positif sepanjang anak sulungnya iaitu Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek menghadapi kemelut rumah tangga dengan Nubhan.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberikan semangat kepada saya serta keluarga. Sokongan semua amat kami hargai. Saya yakin dan percaya bahawa kebenaran akhirnya akan diketahui,” katanya.

Kes perceraian Nubhan dan isteri masih berjalan di mahkamah.
Sebelum ini, selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, Nubhan mengejutkan ramai apabila didakwa sudah menceraikan isterinya serta memfailkan pengesahan lafaz talak.
Mahkamah Rendah Syariah Sepang kemudian menetapkan 2 Disember ini sebagai tarikh sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan penyanyi itu ke atas Dr. Afifah atau Dr. Fie.
Namun, ketika kes di mahkamah masih berjalan, timbul pula dakwaan kononnya ibu kepada Dr. Afiyah menuntut RM5 juta sekiranya anaknya diceraikan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


