PELAKON Hisyam Hamid menegaskan dua anaknya perlu menamatkan pengajian terlebih dahulu sebelum dibenarkan bercinta.
Hisyam, atau nama sebenarnya Hazmi Hisyam Abdul Hamid, 40, berkata dia mahu anak-anaknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran dan masa depan sebelum memikirkan soal pasangan hidup.
“Saya letak syarat kepada anak-anak, kalau nak ada teman lelaki atau nak kahwin, habiskan sekolah dulu. Bila dah kerja dan ada duit sendiri, barulah boleh fikir soal itu,” katanya kepada mStar.

Hisham mempunyai dua orang anak iaitu Syameliah dan Haydeen.
Sebagai orang yang dikenali ramai, Hisyam terpaksa akur apabila anak-anaknya turut mendapat perhatian ramai.
Malah, dia kadangkala terpaksa berlapang dada menerima pelbagai komen dan usikan netizen mengenai dua cahaya matanya yang kini semakin meningkat dewasa.
“Mula-mula terkesan juga dengan komen dan usikan itu, tapi lama-lama saya anggap ia lumrah sebagai figura umum. Sebab itu saya jarang kongsi tentang anak-anak di media sosial,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Wanita misteri mengaku bakal isteri, Hisyam Hamid kekal tenang... Tak fikir ambil tindakan
ARTIKEL BERKAITAN: Bahagia pegang status duda... Hisyam Hamid tak terdesak cari pengganti, jawab hubungan dengan penerbit
Bagaimanapun, pelakon drama Saat Aku Tahu itu tidak menafikan keinginannya untuk berkongsi tentang aktiviti bersama anak-anak di media sosial, namun bimbang jika perkara itu membuatkan mereka berasa tidak selesa.
“Rasa nak kongsi itu ada tapi kadangkala saya risau mereka rasa malu sebab dah makin besar," katanya.

Hisyam letak syarat ketat pada anak-anak.
Sebelum ini, ruangan komen media sosial Hisyam dipenuhi dengan peminat yang ingin mencuba nasib menjadi menantunya selain memuji hubungan mesra mereka sekeluarga.
Untuk rekod, Hisyam pernah mendirikan rumah tangga bersama Rosmawati Hanafi pada tahun 2006 sebelum berpisah pada 2024.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nurish Syameliah dan Haydeen.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


