suria

Produksi tahu masalah kesihatan Elaine Kang, hormat jika mahu tarik diri

Pihak produksi menghormati keputusan Elaine sekiranya mahu menarik diri.

PIHAK produksi program Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) menghormati keputusan penyanyi Datuk Elaine Kang sekiranya mahu menarik diri daripada program realiti itu susulan masalah kesihatan yang dialami. 

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Idlan Zahari,  penyertaan setiap penyanyi adalah pilihan masing-masing selepas diberikan tawaran pada musim kali ini.

"Semua latar belakang peserta kita tahu termasuk tentang masalah kesihatan. Mereka diberi pilihan untuk sertai atau tidak. Semua keputusan atas pilihan diri sendiri. 

Elaine memaklumkan mengalami masalah kesihatan.

"Jika keadaan tidak mengizinkan dan Elaine mahu tarik diri, kami perlu hormat," katanya kepada mStar. 

Idlan ditemui selepas tamat konsert minggu kedua GV12 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor (MBSA) pada malam Ahad. 

Idlan mengulas perkara tersebut selepas Elaine membuat kejutan berkongsi tentang masalah kesihatan yang dialami. 

ARTIKEL BERKAITAN: Elaine Kang beri bayangan tinggalkan GV12, Ramli MS terus umum tiada penyingkiran minggu kedua

ARTIKEL BERKAITAN: Nubhan sertai GV12 di saat rumah tangga bergolak, Mark Adam dan Usop Wilcha antara peserta bertanding

Sementara itu, ketua juri yang juga pengarah muzik, Datuk Ramli MS berkata, dia memilih untuk memberi peluang kedua kepada penyanyi itu sekali gus mengumumkan tiada penyingkiran dibuat pada konsert itu.

Tambah Ramli, dia bagaimanapun akur sekiranya Elaine tidak mampu meneruskan perjuangannya dalam program tersebut.

"Apa yang saya tahu sebelum ini dia ada masalah jantung. Esok atau lusa jika doktor nasihatkan untuk dia rehat, kita harus hormati. Kesihatan adalah nombor satu. 

"Saya melihat sendiri komitmen yang dia berikan termasuk ketika sesi latihan. Adil untuk beri dia peluang menyanyikan lagu bahasa ibundanya minggu depan. Saya beri dia peluang atas kapasiti dia sebagai penyanyi," jelasnya.

Elaine masih berjuang untuk episod minggu ketiga GV12.

Terdahulu ketika siaran langsung GV12, Elaine memberi bayangan untuk menarik dia susulan masalah kesihatan yang tidak mengizinkan.

Dia bagaimanapun tidak memberitahu secara terperinci tetang sakit yang dialami.

Pada konsert minggu kedua GV12, Elaine menyampaikan lagu Angan Angan nyanyian Raja Ema dan berada di kedudukan terakhir.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain