PENYANYI Datuk Elaine Kang mendedahkan dia sudah lebih dua tahun berdepan masalah jantung dan kini terpaksa bergantung kepada pengambilan ubat secara harian.
Elaine, 60, berkata dia turut mengalami gangguan pada telinga dikenali sebagai tinnitus atau telinga berdesing.
"Bukan sahaja masalah jantung, saya juga ada beberapa penyakit lain. Sekarang ini memang perlu makan ubat setiap hari dan menjalani pemeriksaan secara berkala.

Elaine mahu terus hiburkan peminat.
“Saya juga tidak boleh melakukan kerja berat disebabkan penyakit ini. Masalah pada telinga ini juga membuatkan saya kerap berasa pening," katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin.
Elaine sebelum ini mengejutkan ramai peminat apabila memberi bayangan mahu menarik diri daripada penyertaan dalam program Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) susulan masalah kesihatan yang dialami.
Tampil menjelaskan perkara tersebut, Elaine berkata dia sudah berhasrat untuk tidak lagi meneruskan perjuangan sejak minggu pertama GV12 berlangsung.
ARTIKEL BERKAITAN: Produksi tahu masalah kesihatan Elaine Kang, hormat jika mahu tarik diri
ARTIKEL BERKAITAN: Elaine Kang beri bayangan tinggalkan GV12, Ramli MS terus umum tiada penyingkiran minggu kedua
Baginya, penyertaan dalam program itu adalah sebagai tanda memberitahu peminat bahawa dia masih aktif sebagai penyanyi.
"Pada minggu pertama ada terfikir nak umum tarik diri, tetapi saya berjaya ke minggu seterusnya. Dalam program ini banyak perkara yang perlu dilakukan.
“Sebab itu sejak awal saya beritahu tidak menyimpan keinginan untuk menang. Cukup orang tahu saya masih aktif menyanyi. Selepas lebih 20 tahun menyepi, saya mahu kembali semula," ujarnya.

Elaine gagal menahan sebak sewaktu umum mahu undur diri.
Keputusan Elaine untuk menarik diri pada minggu kedua bagaimanapun tidak dipersetujui oleh barisan juri termasuk pengarah muzik Datuk Ramli MS.
Elaine sekali lagi diberi peluang dan tiada penyingkiran diumumkan pada acara yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor, pada malam Ahad.
Tambah Elaine, dia lebih selesa menyembunyikan masalah kesihatan yang dialami kerana tidak mahu menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan peminat.

Juri Hetty Koes Endang memberi kata-kata semangat buat Elaine.
"Saya simpan tentang masalah ini kerana tidak mahu buat orang risau. Sebagai penyanyi, saya hanya mahu menghiburkan peminat.
“Buat masa sekarang saya perlu mendapatkan nasihat doktor sama ada mahu terus bertanding atau tidak. Kalau boleh, saya mahu terus menyanyi tetapi bukan sebagai peserta GV12," luahnya.
Pada minggu kedua GV12, Elaine menyampaikan lagu berjudul Angan Angan yang pernah dipopularkan oleh Raja Ema.
Dia bagaimanapun diumumkan sebagai peserta yang mendapat markah paling rendah.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


